

PADA 2019, Carlos Yulo mengejutkan arena gimnastik antarabangsa apabila bergelar juara dunia dalam acara senaman lantai di Stuttgart, Jerman.
Dia bukan sahaja muncul gimnas Filipina pertama memenangi kejohanan berprestij itu, malah atlet pertama Asia Tenggara melakar kemenangan bersejarah tersebut.
Dengan ketinggian 1.50 meter atau 4 kaki 10 inci, Carlos lelaki bertubuh kecil yang jika dilihat sekali pandang, tidak siapa menyangka dia mampu menggegar dunia.
Memakai kasut bersaiz empat (United Kingdom) dan memiliki ukuran badan 40-28-35, dia seorang yang cukup ‘comel’ dengan wajah keanak-anakan.
Begitupun dengan rejim latihan dan diet ketat, dia berjaya mengatasi segala rintangan untuk bergelar jagoan dunia dalam sukan yang jarang dikuasai negara kelahirannya.

Dilahirkan pada 16 Februari 2000, Carlos anak sulung kepada pasangan Angelica dan Mark Andrew Yulo.
Perjalanan karier Carlos bermula ketika berusia tujuh tahun pada hari datuknya, Rodrigo Frisco melihat dia bergayut melakukan aksi akrobatik di taman permainan berhampiran Zoo Manila.
Rodrigo memohon untuk memasukkan cucunya dalam program latihan percuma anjuran Persatuan Gimnastik Filipina (GAP). Selepas diterima, dia mula berlatih di Kompleks Sukan Memorial Rizal.
Dia menyertai kejohanan pertama pada 2008 mewakili pasukan gimnastik Wilayah Ibu Negara, namun di awal penyertaannya, Carlos tidak memenangi sebarang gelaran sehinggalah pada 2011 apabila dia meraih empat emas dalam kejohanan Palarong Pambansa.
Carlos kemudian meraih emas pada Sukan Filipina 2011, sekali gus membuka mata Munehiro Kugimiya, jurulatih dari Jepun yang melatih gimnas negara itu.

Kagum dengan potensi Carlos, Munehiro menawarkannya peluang berlatih di Jepun, namun Carlos yang ketika itu berusia 16 tahun tidak teruja untuk berpindah ke luar negara dengan memberi alasan tidak akan pergi jika tidak diizinkan ibu bapanya.
Bagaimanapun selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada keluarga, maka bermulalah perjalanan Carlos di bumi Jepun.
Latihan yang keras menyebabkan keadaan tidak mudah buat Carlos, namun dengan bantuan Munehiro, yang turut menyediakan makanan tiga kali sehari buatnya, dia berjaya meningkatkan prestasinya.
Setahun selepas berlatih di Jepun, Carlos mula mendapat perhatian selepas meraih emas palang sejajar pada Kejohanan Remaja Asia ke-14 di Bangkok.
“Ibu saya memberitahu lebih baik pergi ke Jepun dan berlatih dengan jurulatih Munehiro, jadi saya pergi.
“Saya seorang kanak-kanak yang pemalu ketika itu, dan terdapat masalah komunikasi. Ia agak sukar kerana saya keseorangan,” cerita Carlos.

Pada usia 18 tahun, Carlos memasuki liga senior pertamanya pada Piala Dunia 2018 di Melbourne, Baku, Doha dan Cottbus, sebelum mewakili Filipina di Sukan Asia 2018.
Begitupun, Carlos mula mencuri tumpuan pada Kejohanan Dunia 2018 di Doha apabila meraih gangsa all -around individu dan senaman lantai.
Menjadi satu-satunya gimnas Asia Tenggara yang meraih pingat pada kejohanan itu semakin meningkatkan keinginannya.
Setahun kemudian, namanya berada di puncak apabila muncul juara dunia di Stuttgart dalam acara senaman lantai.
Disebabkan perbezaan waktu, ibu bapanya tidak menonton aksi Carlos secara langsung kerana ketika dia membuat persembahan, jam sudah memasuki pukul 5.30 pagi di Filipina.
Jurulatih Yulo menghubungi ibunya untuk memaklumkan mengenai kejayaan tersebut.

“Kami tidak menonton siaran langsung di YouTube kerana tidak menjangkakan Caloy akan menang. Kali terakhir kami menonton, saingan berakhir sehingga 2.30 pagi,” kata Angelica.
Kata Carlos, ketika bercakap dengan ibunya di telefon, dia seperti ingin menangis, namun disebabkan terlalu malu, dia mengawal perasaan.
Carlos yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah dalam jurusan sastera di Universiti Teikyo, Itabashi menggalas harapan besar rakyat Filipina pada Sukan SEA 2021 yang sedang berlangsung di Vietnam.
Kelmarin, dia menghadiahkan pingat emas all-around individu, selain membantu pasukan Filipina meraih perak.









