PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu menggunakan dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong sebagai ‘pemanas enjin’ menjelang Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, bulan depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang ‘turun padang’ untuk melihat sendiri persiapan skuad kebangsaan semalam memuji komitmen serta semangat yang ditunjukkan oleh pemain.
Beliau mahu mereka menyerap semangat beraksi di laman sendiri buat kali pertama selepas dua tahun setengah dengan mencari keputusan positif menentang Brunei, Jumaat ini dan Hong Kong pada Rabu depan.
“Perlawanan ini, persahabatan mahupun pertembungan Kelayakan Piala Asia penting, bukan sahaja ia dinantikan penyokong yang sudah sekian lama rindukan aksi Harimau Malaya di laman sendiri tetapi pencetus kepada sentuhan pertama jurulatih Kim Pan Gon.
“Berdasarkan pemantauan hari ini saya lihat pemain begitu bersemangat dan komited untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Dilihat juga setiap pemain mahu membuktikan sesuatu dalam memastikan mereka berada dalam radar Kim Pan Gon,” kata Hamidin.
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat ini akan bermula jam 9 malam.
Tiket RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak sudah boleh dibeli secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.