PARIS: Karim Benzema menegaskan, dia sudah melakukan yang terbaik bersama Real Madrid untuk melayakkannya menjulang trofi Ballon d’Or selepas membantu Los Blancos merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ke-14 semalam.
Jaringan tunggal Vinicius Junior pada minit ke-59 memadai untuk Real menumpaskan Liverpool 1-0 dalam final di Stade de France, dan ia trofi Eropah kelima Benzema bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Benzema tidak mencetak gol dalam perlawanan yang menyaksikan serangan Reds melancarkan 24 percubaan ke gawang Real, namun penyerang Perancis itu menutup kempen selaku penjaring terbanyak dengan 15 gol keseluruhan.
“Sudah tentu (memikirkan tentang Ballon d’Or). Selepas ini saya akan menyertai skuad kebangsaan, saya tidak fikir saya boleh melakukan lebih banyak lagi bersama kelab.
“Kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku tetapi dalam apa jua keadaan saya bangga dengan pencapaian yang dilakukan,” kata Benzema.
Benzema, 34, akan menyertai Perancis dalam Liga Negara-Negara bulan depan selepas menutup musim ini dengan meledak 44 gol buat Real.
Dia menjaringkan hatrik ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) dan Chelsea di peringkat kalah mati, selain menjaringkan tiga gol pada dua aksi separuh akhir menentang Manchester City.
Benzema juga menegaskan, kejayaan Real menjulang trofi Eropah buat kali ke-14 bukan disebabkan faktor nasib.
“Ia bukan nasib. Anda boleh kata kami bernasib baik sekali sekala tapi tidak setiap masa. Kami berhak menang. Kami bekerja keras,” katanya.
Dalam aksi semalam, Benzema mendapati jaringannya pada babak pertama dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid. – AGENSI