Belum tajam tapi Harimau Malaya makin serasi

Belum tajam tapi Harimau Malaya makin serasi

SYAFIQ Ahmad (dua, kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya belum menunjukkan ketajaman penuh, namun semakin menyesuaikan diri dengan formasi baharu Kim Pan-gon, perkembangan positif menje­lang Kelayakan Piala Asia 2023, bulan depan.

Biarpun menumpaskan Brunei 4-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin, namun Pan-gon percaya, skuad bim­bingannya patut menunjukkan permainan lebih baik.

“Permainan kami sepatutnya lebih baik, saya tidak mengira berapa banyak gol yang kami hasilkan, namun secara keseluruhan kami boleh mempamer persembahan lebih baik.

“Apa pun, saya gembira melihat prestasi pemain yang kekal agresif, dinamik selain menguasai perlawanan.

PENYERANG Malaysia, Syafiq Ahmad (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Brunei, Muhd. Hanif Hamir dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Saya tidak merungut de­ngan mereka kerana semuanya memberikan 100 peratus.

“Kali ini saya juga mencuba formasi berbeza (3-4-3) tetapi sa­ya berpendapat ia bukanlah perkara utama yang perlu diberi perhatian.

“Apa yang penting pemain dapat menyesuaikan diri,” kata Pan-gon.

Beraksi di depan ribuan ­pe­nyokong sendiri buat kali pertama selepas lebih dua tahun, Harimau Malaya tidak berdepan masalah untuk menumpaskan lawan yang berada di ranking 191 ­menerusi jaringan Syafiq Ahmad, Syamer Kutty Abba, Faisal Halim dan Guilherme de Paula.

Ketika ditanya mengenai pres­tasi De Paula, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu enggan mengulas lanjut.

PEMAIN Malaysia menjalani proses pemulihan di hotel penginapan mereka di Petaling Jaya semalam. – IHSAN FAM

“Secara jujur, saya tidak suka bercakap mengenai prestasi ­individu kerana ada dalam kalangan mereka melakukan kesilapan.

“Apa yang penting buat saya adalah mereka belajar untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

“Pujian juga harus diberikan kepada semangat berpasukan dalam kalangan pemain yang tinggi, dan komen mengenai individu sepatutnya ­hanya di­bincang secara dalaman bukan untuk didedahkan kepada umum,” katanya.

Pemain naturalisasi dari Brazil, De Paula, 36, sering menjadi tumpuan kritikan setiap kali Harimau Malaya gagal meraih keputusan diharapkan.

Malaysia akan bertemu Hong Kong dalam aksi persahabatan kedua di Bukit Jalil, Rabu ini sebelum memulakan kempen Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023 di venue, 8 Jun.

Harimau Malaya akan memulakan kempen dengan menentang Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN