KUANTAN: Selepas mutu pengadilan menafikan kemenangan Sri Pahang dalam dua aksi pertama Liga Super, Tok Gajah masih tidak dapat lari daripada dirundung malang apabila kalah 1-2 kepada Melaka United di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Walaupun mendahului 1-0 pada separuh masa pertama dan tanpa berlaku keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan, Sri Pahang masih belum berjaya mencatat kemenangan.
Sebaliknya, skuad Sang Kancil yang baru kehilangan jurulatih akhirnya melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.
Minit keempat perlawanan, Sri Pahang berjaya mendapat sepakan penalti selepas Manual Hidalgo dijatuhkan pemain pertahanan, Mohd. Swazwan Andik.

Nicholas Swirad yang mengambil sepakan penalti berjaya menewaskan penjaga gol Melaka United, Tian Keat See untuk tuan rumah mendahului pelawat 1-0.
Gol awal yang diperolehi anak buah Chistophe Gamel sepatutnya menjadi pembakar semangat untuk terus menambah jaringan.
Bagaimana pun anak-anak buah Mohd. Asri Ninggal cepat menerap asakan Sri Pahang sehingga bola lebih banyak berada di kawasan tengah padang tanpa percubaan merbahaya antara dua pasukan.
Melaka sesekali cuba menembusi pertahanan Sri Pahang terutama bekas pemain import Selangor musim lalu, Ifedayo tetapi Mamadaou Samassa lebih bersedia mengawal pintu golnya.
Sri Pahang hampir menambah gol pada minit minit terakhir separuh masa pertama melalui sepakan leret pemain import, Billy Ketkeophone namun ia tersasar sedikit di kiri pintu gol Melaka.
Minit ke-51, Melaka United seolah olah membalas dendam apabila berjaya memperolehi gol awal separuh masa kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1.
Emmanual Essigba melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan bekas penjaga gol kebangsaan Mali itu.
Selepas itu, minit ke-70, pelawat melakukan kejutan apabila berjaya menambah satu gol melalui pemain gantian, Mohamad Hasbullah Abu Bakar , juga melalui sepakan deras dari luar kotak penalti.
Sri Pahang cuba melakukan serangan bagi mendapatkan gol untuk mengimbangi perlawanan tetapi banyak bola tersekat di benteng pertahanan Melaka United selain beberapa peluang tidak memihak tuan rumah sehingga wisel penamat.