PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan mampu menghadirkan kejutan meraih emas acara bola sepak di Sukan SEA Hanoi di Vietnam bulan depan.
Beliau percaya skuad B-23 mempunyai ramai pemain berkaliber sebagai pilihan untuk ke Sukan SEA yang mampu untuk membawa kejayaan kepada negara dalam perubatan ibu segala pingat di Hanoi nanti.
“Walaupun persiapan pasukan B-23 sedikit terlewat tetapi kemampuan para pemain itu saya fikir kita bukan tahap kaleng-kaleng (bukan sembarangan) kita masih pasukan yang digeruni di Asia Tenggara.
“Jadi, saya amat yakin kita akan memberikan saingan yang paling baik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara (MSN) kelmarin.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Datuk Nur Azmi Ahmad berharap, skuad kendalian Brad Maloney itu dapat mencapai keputusan cemerlang di Hanoi.
“Kalau boleh kita dapat pingat dalam bola sepak, kerana ia adalah satu sukan yang melengkapkan Sukan SEA dan lengkaplah pencapaian kontinjen negara apabila ada sebutir pingat daripada bola sepak,” katanya.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Indonesia ketika dibawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.
Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu ialah muncul sebagai naib juara pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum tersingkir di seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.
Malaysian yang diundi dalam Kumpulan B pada temasya sukan dwitahunan itu dan dijadualkan berdepan Thailand pada 7 Mei, Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Thien Truong Stadium, Nam Dinh.