Selepas Juventus, Bayern pula menjadi mangsa Villarreal - Utusan Malaysia

Selepas Juventus, Bayern pula menjadi mangsa Villarreal

Arnaut Danjuma meledak gol kemenangan Villarreal ke atas Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILLARREAL, Sepanyol: Villarreal mengejutkan juara enam kali, Bayern Munich 1-0 selepas mencipta banyak peluang dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.

Kelab Sepanyol itu sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar melihat kepada peluang yang terhidang, namun mereka membawa bekalan tipis ke Allianz Arena minggu depan selepas hanya memperoleh satu gol menerusi Arnaut Danjuma di minit kelapan.

Selepas menyingkirkan Juventus pada peringkat 16 akhir, anak-anak buah Unai Emery terbukti bersedia menjadi pencabar utama kejuaraan.

Penyandang juara Liga Europa itu melemaskan Bayern yang bergelut untuk mendapatkan sentuhan dan memaksa penjaga gol, Manuel Neuer bekerja keras menyelamatkan gawang.

Peluang terbaik Villarreal menerusi Francis Coquelin dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Gerard Moreno pula hampir menjaringkan dua gol – pertama menerusi rembatan jarak jauh yang terkena tiang dan tendangannya kemudian sedikit tersasar ketika Neuer sudah tertewas.

Danjuma dan Alfonso Pedraza turut mensia-siakan dua peluang terbaik di hujung permainan.

“Pasukan kami amat dahagakan kejayaan dan sentiasa merendah diri.

“Bagaimanapun kami berjaya mengeluarkan permainan terbaik berdepan antara pasukan terbaik di dunia.

“Kami sepatutnya boleh mendapat lebih banyak gol,” kata pemain terbaik perlawanan, Giovani Lo Celso.

Emery telah memenangi empat trofi Liga Europa – tiga bersama Sevilla dan satu di Villarreal.

Bekas pengurus Arsenal itu jelas amat bermotivasi untuk meletakkan kariernya ke tahap lebih baik dengan memenangi Liga Juara-Juara. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN