Safuwan kena kental, berjiwa besar – ASFC

Safuwan kena kental, berjiwa besar – ASFC

Safuwan Baharudin terpaksa ditenangkan rakan-rakan sepasukan selepas menjadi mangsa makian penyokong Selangor ketika pasukan itu menumpaskan Kedah 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin. – IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan seorang peminat Selangor memaki hamun kapten, Safuwan Baharudin selepas tamat aksi Liga Super menentang Kedah kelmarin tidak mewakili majo­riti penyokong Gergasi Merah, tegas Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC).

Presiden ASFC, Mohd. Faizal Wahid juga berharap, tonggak pertahanan Singapura itu berjiwa besar dengan menjadikan apa yang berlaku sebagai pembakar semangat untuk memburu lebih banyak kejayaan.

“Bagi saya, kita kena tengok keputusan terkini..bukannya berdasarkan prestasi lama untuk marah-marah.

“Semalam permainan cantik, pemain juga telah memberi segala-galanya di atas padang dan menumbangkan pasukan yang hebat.

“Saya percaya, hanya segelintir penyokong bersikap sedemikian..mungkin juga dia sudah pendam lama.

“Apa pun, saya harap moral pemain tidak terjejas dan te­ruskan rentak kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, tular di media sosial seorang penyokong mengeluarkan kata-kata kesat kepada Safuwan biarpun pasukan itu menumpaskan Kedah 4-1 di Petaling Jaya, iaitu kemenangan pertama mereka musim ini.

Penyokong tersebut yang duduk di atas pagar menuduh pemain berusia 30 tahun itu berlagak sebelum memaki hamunnya hingga terpaksa ditenangkan oleh pemain lain.

Sementara itu, pengurus Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, pasukan tidak mahu memanjangkan isu itu dan Safuwan sendiri telah melalui situasi sama banyak kali.

“Sokongan penyokong amat penting dan kami menghargai­nya. Terima kasih kepada yang datang menyokong atau menyokong dari rumah, sudah tentu kami sentiasa mahu menang dan mengejar kejayaan setiap kali turun bermain,” katanya ringkas.

Di media sosial, rata-rata peminat tidak bersetuju dengan cara individu tersebut memaki pemain pasukan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN