LONDON: Liverpool bersiap sedia untuk menentang ‘pasukan terbaik dunia’ apabila bertandang ke Manchester City esok dalam perlawanan yang boleh menentukan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pertembungan di Etihad itu bakal mencuri tumpuan kerana menemukan dua pasukan paling menyerlah dan menguasai bola sepak Inggeris musim ini.
Ketika saingan berbaki lapan perlawanan, kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata.
City menerajui liga menerusi 73 mata, meninggalkan Reds di tempat kedua (72) dan Chelsea yang berada di tangga ketiga (59) sudah boleh melupakan persaingan.
Sementara itu, Tottenham, Arsenal, West Ham dan Manchester United, akan meneruskan permusuhan mereka bagi merebut kedudukan empat kelompok teratas EPL, yang menawarkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

City hampir tidak berdepan sebarang masalah dalam usaha memburu mahkota EPL buat kali keempat dalam tempoh lima tahun tetapi beberapa kali keciciran mata untuk membolehkan Liverpool memberi tentangan sengit dalam pemburuan gelaran.
Anak-anak buah Jurgen Klopp, memburu empat trofi semusim yang belum pernah terjadi sebelumnya musim ini, selain memberi tekanan kepada City selepas mencatat 10 kemenangan liga berturut-turut.
Pengendali kelahiran Jerman itu menyedari pasukannya tidak mampu untuk menang di Etihad – di mana mereka tidak pernah pulang dengan tiga mata sejak 2015 – tetapi tidak merasakan kemenangan di Manchester akan menjadi penentu.
“Jika anda menang menentang City, di mana ia sudah sangat sukar, saya rasa tidak ada yang akan merasakan ia sudah berakhir dan penentu kejuaraan. Ini kerana kualiti yang dimiliki mereka.
“Kami sekarang ini akan berdepan pasukan terbaik di dunia, namun kami akan cuba dengan cara apa sekali pun,” katanya.
Kedua-dua pasukan itu juga akan bertemu sekali lagi pada minggu berikutnya untuk aksi separuh akhir Piala FA. – AGENSI