KOTA BHARU: Seorang bekas anggota polis maut selepas motosikal ditunganggnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum terbakar dalam kejadian di depan sebuah premis menjual motosikal di Kok Lanas di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, Rohaizam Haron, 48, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dipinjam daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas tercampak kira-kira 20 meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Azmi Wan Hamat berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan meminjam motosikal berkenaan daripada seorang lelaki ketika berhenti di sebuah gerai menjual bunga api.
Menurutnya, mangsa dipercayai memaklumkan kepada lelaki itu bahawa dia berminat dengan Yamaha RXZ sebelum meminta kebenaran untuk mencuba menunggang motosikal tersebut daripada pemiliknya.
“Allahyarham Rohaizam kemudian meninggalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz miliknya kepada lelaki terbabit sebelum menunggang motosikal itu kira-kira satu kilometer daripada gerai menjual bunga api itu.
“Semasa menunggang motosikal itu, mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah MPV jenis Honda Stream sebelum tercampak kira-kira 20 meter. Motosikal yang dia tunggang pula terbakar dalam kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Wan Azmi berkata, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.48 pagi sebelum ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran motosikal tersebut.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang membakar sebuah motosikal manakala penunggangnya berada dalam keadaan terbaring dan sudah meninggal dunia.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal tersebut dari arah Kok Lanas menghala ke Ketereh dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV tersebut.
Katanya, pemandu Honda Stream yang berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan manakala mangsa parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










