PETALING JAYA: Selangor akhirnya melakar kemenangan pertama dalam aksi Liga Super musim ini dan ia dilakukan dengan penuh bergaya apabila membenam Kedah 4-1, malam ini.
Selepas seri dalam dua perlawanan pertama, skuad Gergasi Merah mempamer keinginan tinggi untuk memburu kemenangan, apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Anak-anak buah Michael Feichtenbeiner menguasai perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Kedah.
Akhirnya, Mukhairi Ajmal meletakkan tuan rumah di depan selepas menyambut hantaran Alexander Agyarkwa dengan rembatan dari luar kotak penalti.
Jaringan itu menaikkan semangat Red Giants untuk terus memburu gol, dan tonggak dari Brazil, Herlison Caion
menambah gol kedua di minit ke-34.
Memasuki babak kedua, Selangor terus memberi tekanan kepada Sang Kenari, malah beberapa kali berjaya menembusi benteng lawan.
Red Giants hampir menambah gol ketiga pada minit ke-70 tetapi percubaan Hein Htet Aung diselamatkan penjaga gol Kedah, Ilham Amirullah Razali.
Pada minit ke-84, tuan rumah menghukum kealpaan pertahanan lawan, Jang Sukwon, dan pemain gantian, Nor Hakim Hassan meledak gol ketiga.
Sentuhan Caion semakin tajam menuju ke penghujung permainan apabila meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-87.
Ketika perlawanan menunggu masa untuk ditamatkan, Fayadh Zulkifli menjaringkan gol saguhati Kedah di waktu kecederaan.
Selangor yang sebelum ini seri 3-3 dengan Kuala Lumpur City dan 2-2 menentang Negeri Sembilan FC, melonjak ke tangga kelima liga dengan lima mata.
Kedah pula turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan berkongsi sembilan mata bersama Sabah yang terdahulu menumpaskan Sarawak United 1-0 di Kuching. – UTUSAN ONLINE