PARIS: Bintang tengah Manchester United, Paul Pogba semakin hampir untuk berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengadakan rundingan positif dengan gergasi bola sepak Perancis itu.
Perjanjian semasa Pogba dengan United akan tamat penghujung musim ini bagi membolehkan perancang utama Perancis itu meninggalkan Old Trafford secara percuma.
Anggota skuad Les Bleus ketika menjuarai Piala Dunia 2018 itu belum mencapai persetujuan baharu dengan United dan dalam masa sama mengakui berminat menyertai kelab yang lebih berkemampuan memenangi trofi.
“Anda harus jujur, lima musim terakhir tidak memuaskan saya – benar-benar tidak sama sekali.
“Tahun ini sudah mati (peluang), kami tidak akan memenangi apa-apa. Sama ada bersama Manchester United atau di kelab lain, saya mahu memenangi trofi,” kata Pogba bulan lalu.
Menurut portal sukan FootMercato, pemain berusia 29 tahun itu telah bertemu Pengarah Sukan PSG, Leonardo dan mengemukakan beberapa cadangan kepada juara Ligue 1 sembilan kali tersebut.
Laporan itu mendakwa, Pogba memberitahu Leonardo dia dan keluarganya gembira untuk berpindah ke Paris.
Juventus juga dikaitkan dengan perpindahan Pogba tetapi kelab Serie A itu tidak berminat mendapatkan pemain tersebut.
United juga dikatakan sudah berputus harap untuk mencapai persetujuan dengan Pogba selepas pemain tengah itu menolak tawaran perjanjian bernilai 400,000 pound (RM2.2 juta) seminggu.
Bercakap minggu lalu, bekas kapten United Wayne Rooney mengakui dia merasakan yang terbaik untuk kedua-dua kelab dan pemain jika Pogba meninggalkan Old Trafford pada penghujung musim. – AGENSI