MANCHESTER: Manchester City kekal memimpin Liga Perdana Inggeris, namun hanya dengan satu mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan selepas seri 2-2 dengan Liverpool dalam aksi mendebarkan, sebentar tadi.
Gol penyamaan Sadio Mane pada babak kedua menghidupkan harapan Reds untuk mencabar gelaran musim ini selepas City melakukan apa sahaja untuk menang di Stadium Etihad.
Juara bertahan, City menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dan Kevin de Bruyne meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima selepas rembatannya terkena penjaga gol, Alisson sebelum menerjah gawang.
Reds bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Trent Alexander-Arnold melakukan umpanan cantik kepada Diogo Jota yang tenang melakukan sepakan rendah menewaskan Ederson pada minit ke-13.

Jaringan itu tidak menggendurkan asakan City, sebaliknya menaikkan lagi semangat mereka untuk mencari gol.
Akhirnya, Gabriel Jesus melepasi perangkap ofsaid yang dilakukan pemain Liverpool dan melambung bola tinggi yang gagal diselamatkan Alisson untuk kembali meletakkan City di depan pada minit ke-36.
Liverpool bernasib baik tidak ketinggalan dengan jaringan lebih besar selepas tuan rumah terus melancarkan gerakan bahaya ke kubu mereka.
Hanya seminit selepas babak kedua bersambung, Mohamed Salah melakukan hantaran cantik untuk disempurnakan oleh Mane pada hari jadinya yang ke-30.

Kombinasi Salah dan Jota hampir meletakkan pasukan pelawat di depan, namun percubaan mereka gagal menuju tepat ke sasaran.
Pada minit ke-64, jaringan Raheem Sterling dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) selepas pemain sayap City itu berada pada posisi ofsaid.
City dan Liverpool kini tidak boleh melakukan kesilapan dalam baki tujuh perlawanan kerana mereka boleh dihukum jika keciciran mata.
Begitupun, sebelum menghadapi perlawanan liga seterusnya, kedua-dua pasukan mempunyai tugas getir dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Khamis ini.
City dan Liverpool kemudian akan berentap sekali lagi pada separuh akhir Piala FA di Wembley, Sabtu ini. – AGENSI