Pemain ke-12 JDT jejas Frontale

Pemain ke-12 JDT jejas Frontale

PEMAIN sayap JDT, Arif Aiman Hanapi (tengah) dikawal pertahanan Kawasaki Frontale dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pengendali Kawasaki Frontale, Toru Oniki akui sorakan dan ‘ngauman’ pemain ke-12 Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menggamatkan Stadium Sultan Ibrahim kelmarin mengganggu rentak permainan anak-anak buahnya dalam misi mencari tiga mata ketika kedua-dua pasukan seri 0-0 kelmarin.

Menurut Oniki, skuad kendalian Benjamin Mora itu tidak kurang hebatnya apabila berjaya mengekang kemaraan jentera serangan yang diperkuatkan tiga pemain Brazil iaitu Leandro Damiao, Marcio Barbosa dan Joao Schmidt untuk mencipta jaringan.

Jelasnya, situasi sudah tentu akan berbeza sekiranya juara Liga 1 Jepun (J1) itu mampu menyempurnakan salah satu daripada peluang gol yang dihasilkan pada babak pertama sebelum pemain JDT lebih banyak bertahan di babak kedua.

“Kami mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan pada babak pertama, tetapi tidak ada satu pun yang berjaya diterjemahkan. Setelah usia permainan meningkat, usaha kami untuk memburu gol kian malap.

KETUA Ketua pasukan Kawasaki Frontale, Shogo Taniguchi (kiri) bersaing dengan pemain tengah JDT, Mohd. Afiq Fazail dalam aksi Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Sudah tentunya kami membawa misi memburu tiga mata namun bermain dengan tekanan oleh sorakan penyokong di stadium sedikit merencatkan rentak permainan dan mengganggu konsentrasi pemain. Sudah lama kami tidak beraksi dalam suasana seperti ini, harap ini dapat diatasi pada perlawanan akan datang,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, Leandro dan Barbosa masing-masing tidak berjaya memanfaatkan beberapa peluang terhidang untuk mencipta jaringan sekali gus menyaksikan kelab Jepun itu tidak berdaya memintas JDT dari segi kutipan mata dalam peringkat Kumpulan I.

Ditanya mengenai pemain import Thailand, Chanathip Songkrasin yang tidak disenaraikan, Oniki memberitahu, pemain itu terpaksa direhatkan setelah beraksi 90 minit ketika membantu pasukan membelasah Guangzhou FC 8-0, Isnin lalu.

MATTHEW Davies memintas pemain tengah Kawasaki Frontale, Joao Schmidt dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Chanathip direhatkan setelah bermain penuh masa ketika berdepan Guangzhou, tambahan pula kita perlu mematuhi kuota import yang boleh diturunkan dalam satu perlawanan,” katanya.

Kedua-dua pasukan bakal berentap lagi esok, dan Frontale memberi bayangan akan menurunkan barisan hampir sama untuk merobek gawang Harimau Selatan.

Dua kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan meletakkan JDT unggul di tangga teratas Kumpulan I, sekali gus berpeluang baik memahat sejarah mara ke pusingan kedua buat kali pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya