Sakit Yusrina ibarat bom jangka

Sakit Yusrina ibarat bom jangka

YUSMADI Yusof dan Sharifah Fatimah Mardiyyah Syed Zahiddin Idid menunjukkan gambar Yusrina Shafira di Kampung Kuala Mai, Kuala Krau di Temerloh, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: “Dahulu anak saya aktif bersukan, ceria dan tiada masalah kesihatan. Kini dia hanya terlantar lebih 50 hari dengan tiub berbalut di leher dan kepala. Doktor kata penya­kitnya boleh menyerang bila-bila masa, seperti bom jangka.”

Demikian luah Yusmadi Yusof, 42, bapa kepada Yusrina Shafira, 14, yang kini bertarung nyawa melawan Systemic Lupus Erythematosus (SLE), iaitu sejenis pe­nyakit autoimun yang menyerang sistem imun tubuh hingga boleh menjejaskan otak, paru-paru serta organ penting lain.

Pelajar Madrasah Raudhah Al-Muhibin atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Kob di Kampung Pantai Chenor di sini, itu disahkan menghidap penyakit tersebut selepas mengalami sesak nafas teruk dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini, akhir April lalu.

Keadaan anaknya merosot sejak April lalu dan dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Doktor menjalankan pembedahan segera di kepala Mei lalu kerana berlaku pendarahan otak. Pada 26 Mei, paru-paru pula ditebuk untuk keluarkan cecair. Jun lalu apabila dia jalani prosedur trakeostomi untuk bantu pernafasan,” katanya.

Yusrina Shafira, anak kedua daripada lima beradik, sebelum ini aktif bermain bola jaring dan dinobatkan sebagai Tokoh Kepemimpinan Perempuan SK Kuala Mai, selain mencatat rekod kehadiran penuh ke sekolah.

Yusmadi berkata, pada mulanya keluarganya menyangka Yusrina Shafira sakit biasa apabila kerap batuk setahun lalu tetapi tidak menyangka ia petanda SLE.

Dia yang bekerja kampung dan tiada pendapatan tetap, terpaksa berulang-alik ke Kuantan menaiki motosikal kapcainya demi menjaga anak kesayangan itu.

Sementara itu, isterinya, Sharifah Fatimah Mardiyyah Syed Zahiddin Idid, 38, berkata, mereka kini menumpang di rumah rakan di Kuantan untuk memudahkan menjaga Yusrina Shafira di HTAA.

“Kami tinggalkan empat anak lain berusia antara enam tahun hingga 15 tahun di bawah jagaan nenek mereka. Berat rasa hati, tapi inilah pengorbanan kami untuk anak yang sedang bertarung nyawa,” katanya sebak.

Dia dan suaminya kini buntu memikirkan kos rawatan dan perubatan mencecah RM50,000, termasuk lampin dewasa dan ubat-ubatan.

Sumbangan boleh dihulurkan ke akaun CIMB bernombor 7607087900 atas nama Yusmadi Yusof. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN