DUNGUN: “Kami sekeluarga sudah biasa ikat perut, makan nasi berkuahkan kicap sahaja kerana kadangkala tiada wang untuk beli lauk,” luah Zailawati Ismail, 41, ibu tunggal dari Felda Jerangau yang menghidap Endometriosis kronik sejak enam tahun lalu.
Selepas suaminya meninggal dunia akibat ditimpa dahan semasa menebang pokok, Zailawati memikul tanggungjawab membesarkan tiga anak berusia antara 12 hingga 19 tahun.
Keadaan kesihatannya yang lemah menyebabkan dia tidak mampu bekerja, sebaliknya hanya bergantung kepada bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya pernah bekerja di kedai makan dan cuba berniaga air, tapi selalu pitam. Doktor nasihat supaya elakkan daripada melakukan kerja berat,” katanya.
Dia turut mengalami serangan anxiety akibat tekanan hidup dan sering rasa bersalah tidak dapat menyediakan kehidupan selesa untuk anak-anak.
Lebih memilukan, Zailawati terpaksa menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anak sulungnya yang menuntut di sebuah kolej di Kuantan untuk membeli barang dapur dan menampung kos ulang alik ke hospital.
Tanpa kenderaan, keluarga ini terpaksa bergantung kepada ihsan penduduk kampung.
Perjalanan ke hospital di Kuala Terengganu boleh mencecah RM100, termasuk kos makan dan minum.
Keluarganya sekali lagi diuji apabila anak bongsunya, Nur Alia Batrisya, 12, patah kaki kiri ketika bermain bola jaring di sekolah dan memerlukan rawatan susulan.
Anak lelakinya, Mohd. Aiman Haikal, 16, kini mengambil upah mesin rumput dan kait sawit selepas sekolah untuk membantu kewangan keluarga.
“Saya tetap mahu anak-anak berjaya. Ada yang pertikai kenapa anak belajar di kolej swasta, tapi dia gunakan pinjaman, bukan duit kami. Saya mahu dia belajar agar dapat ubah nasib keluarga,” katanya
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Zailawati Ismail di 1150041000184263. – UTUSAN










