Pasukan Sri Pahang telah 'dirompak'

Pasukan Sri Pahang telah ‘dirompak’

PEMAIN Kedah, Azammuddin Akil cuba melakukan rembatan ke gawang Sri Pahang dalam perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Darul Aman kelmarin. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel merasakan pasukannya seakan-akan ‘dirompak’ selepas kalah 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Pengendali kelahiran Perancis itu merasakan Tok Gajah sepatutnya memperolehi sekurang-kurangnya satu gol, terutama menerusi percubaan salah seorang pemainnya pada minit terakhir perlawanan.

Dakwanya, bola tersebut seperti sudah melepasi garisan gol sepenuhnya sebelum ditanduk keluar oleh pemain senior Kedah, Azamuddin Akil.

“Saya betul-betul merasakan kami telah dirompak kerana sejujurnya, saya tak faham mengapa video bantuan pengadil (VAR) tiada di sini sedangkan teknologi itu sudah diguna pakai di mana-mana saja.

“Cukup jelas bahawa bola itu sudah sepenuhnya melepasi garisan gol sebelum ditanduk keluar. Tetapi mungkin kedudukan pengadil agak jauh dan saya tak mahu memanjangkan perkara ini kerana kita sama sekali tidak boleh kembali ke masa lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas berakhir perlawanan tersebut.

PENJAGA gol Kedah, Muhamad Ilham Amirullah Razali cuba menyelamatkan gawang pasukan daripada dibolosi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Dalam perlawanan itu, kekebalan kubu Sri Pahang yang ditunjangi kecekapan penjaga gol import dari Mali, Mamadou Samassa lebur apabila tonggak pertahanan Kedah, Rodney Celvin menjaringkan gol kemenangan buat tuan rumah pada minit ke-54.

Sri Pahang turut menghasilkan gol melalui  Johan Martial pada minit ke-80 namun  dibatalkan pengadil, Mohd. Hasrol Mohd. Amir kerana terdapat kekasaran yang dilakukan.

Mengulas mengenai aksi penjaga golnya yang menarik perhatian ramai kerana berani meninggalkan pintu gol sebanyak dua kali bagi membantu pasukan mencari gol penyamaan di akhir perlawanan, Gamel berkata beliau ‘merestui’ tindakan Mamadou Samassa itu.

PERTAHANAN Kedah, Rodney Celvin meraikan gol kemenangan pasukannya ketika menentang Sri Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Mungkin anda tidak mendengarnya tetapi saya yang memberi arahan menyuruh dia bertindak demikian. Waktu itu kami sudah ketinggalan dalam masa tambahan dan saya ada lelaki berketinggian 1.98 meter untuk digunakan.

“Jadi kami gunakan ‘senjata’ terakhir itu dan dia hampir menjaringkan jaringan. Kalaulah bola itu masuk, sudah tentu akan menjadi sesuatu yang fantastik buat kami,” katanya.

Tindakan Mamadou Samassa pada minit terakhir permainan itu merupakan antara perkara yang paling banyak dibincangkan oleh peminat bola sepak tempatan ketika ini memandangkan dia hampir melakukan jaringan menerusi aksi ‘bicycle kick’.

Namun perbuatan itu turut mengundang bahaya apabila pintu golnya terbuka luas ketika KDA FC melakukan serangan balas, dan hampir membolehkan pasukan tuan rumah menggandakan jaringan jika pemain muda, Fadzrul Danel lebih fokus dan bersungguh-sungguh dalam melakukan percubaan dari jarak jauh. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN