LONDON: Aksi cemerlang pada babak pertama membawa Liverpool ke final Piala FA buat kali pertama sejak 2012 selepas menumpaskan Manchester City 3-2 di Stadium Wembley, hari ini.
Dua jaringan Sadio Mane dan satu gol menerusi Ibrahima Konate memastikan Reds terus di landasan untuk memburu empat kejuaraan musim ini.
Liverpool yang merupakan juara tujuh kali kini akan bertemu pemenang di antara Chelsea atau Crystal Palace dalam final pada 14 Mei.
Pengurus City, Pep Guardiola memilih untuk merehatkan beberapa pemain utama termasuk penjaga gol, Ederson, dan skuad kedua itu tidak melawan ketika ketinggalan 0-3 sebelum rehat.
Konate meletakkan Liverpool selepas menanduk bola hasil sepakan penjuru seawal minit kesembilan sebelum kesilapan penjaga gol simpanan City, Zack Steffen menghadiahkan gol kedua Reds.

Steffen mengambil masa terlalu lama selepas menerima hantaran ke belakang John Stones dan Mane berjaya mencuri bola sebelum menolaknya ke gawang pada minit ke-17.
Mane menambah gol ketiga sebelum tamat babak pertama menerusi sepakan voli selepas menerima hantaran Thiago Alcantara.
City tampil lebih agresif sebaik sahaja memasuki separuh masa kedua, dan Jack Grealish merapatkan jurang hanya 70 saat selepas permainan bersambung.
Bernardo Silva menghidupkan harapan dengan meledak gol kedua The Citizens untuk 3-2 pada masa kecederaan.
Kebangkitan yang cuba dilakukan City bagaimanapun terlalu lewat dan gagal menghalang langkah Liverpool. – AGENSI