Liverpool selangkah hampiri separuh akhir Liga Juara-Juara

Liverpool selangkah hampiri separuh akhir Liga Juara-Juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Juara enam kali, Liverpool mengorak langkah besar untuk melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas menumpaskan Benfica 3-1 pada suku akhir pertama di tempat lawan, sebentar tadi.

Jaringan Ibrahima Konate, Sadio Mane dan Luis Diaz membolehkan Reds pulang bersama kelebihan apabila menerima kunjungan lawan dalam aksi timbal balik, Khamis depan.

Bek tengah Perancis, Konate memberi permulaan sempurna buat Liverpool dengan menanduk gol pembukaan pada minit ke-17.

Mane menggandakan kedudukan dengan menolak umpanan Diaz, sekali gus melepasi rekod Lionel Messi dan Steven Gerrard dengan meledak 12 gol pada kempen kalah mati Liga Juara-Juara.

SADIO Mane (kanan) meledak gol kedua Liverpool di Lisbon, Portugal.

Jaringan minit ke-34 itu membolehkan bintang Senegal tersebut berkongsi rekod bersama Cristiano Ronaldo.

Liverpool menguasai babak pertama yang jelas berat sebelah, di mana Mohamed Salah, Diaz dan Naby Keita melepaskan peluang menjaringkan gol hebat.

Lima minit selepas separuh masa kedua bersambung, Konate, 22, gagal menghadang hantaran lintang lawan untuk membenarkan Darwin Nunez merapatkan jurang buat Benfica.

LUIS Diaz melengkapkan gol ketiga Liverpool.

Begitupun, harapan tuan rumah untuk melakukan kebangkitan di depan penyokong sendiri yang membanjiri Estadio da Luz tidak kesampaian apabila Diaz meledak gol ketiga Liverpool, tiga minit sebelum tamat permainan.

Reds juga berpeluang menambah jaringan menerusi Diogo Jota di waktu kecederaan tetapi penjaga gol Benfica, Odysseas Vlachodimos sempat menghalang percubaannya dengan kaki kiri.

“Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol pada babak kedua, namun gagal memanfaatkan percubaan.

“Sokongan padu penyokong membolehkan Benfica kembali dalam permainan dan memperoleh jaringan.

“Luis Diaz mendapat sokongan yang baik dari awal dan akhirnya menyempurnakan jaringan yang cantik,” kata bek kiri Liverpool, Andy Robertson kepada BT Sport. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN