KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) menambah derita Melaka United dengan skuad Sang Kancil 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Dua gol yang dihasilkan ketua pasukan, Paulo Josue pada separuh masa pertama membezakan kedua-dua pasukan dan tekanan pasti dirasai Melaka United yang tewas buat kali kedua dalam tempoh empat hari.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada dihadapan selepas Josue bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan pada minit ke-3 untuk merembat deras menewaskan Norazlan Razali.
Gol tersebut nyata mengejutkan pelawat yang mula melancarkan gerakan memburu gol penyamaan namun sebaliknya berlaku apabila The Hawks menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-30 juga menerusi Josue.
Memasuki babak kedua, Melaka United mempamerkan aksi berbeza dengan membawa masuk beberapa pemain untuk menambahkan sengat jentera serangan.
Kemasukan Wan Zaharulnizam dan Norshahrul Idlan Talaha dilihat berjaya mengubah tempo permainan pelawat yang lebih banyak menyerang berbanding tuan rumah namun tiada tambahan jaringan dihasilkan pada separuh masa kedua untuk kedudukan kekal 2-0 sehinggalah tamat perlawanan.
Kemenangan ke atas Melaka United malam ini memastikan tiga mata penuh buat kali pertama KL City FC selepas tiga perlawanan untuk mengutip empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Bagi Melaka United pula mereka terus merekodkan kekalahan kali ketiga dan satu seri untuk mengumpul satu mata selepas empat perlawanan. – UTUSAN ONLINE