PETALING JAYA: Satu layangan kad merah dan tujuh kad kuning disajikan dalam aksi membabitkan perlawanan Liga Super antara Kuala Lumpur (KL) City menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin, sekali gus menyaksikan mutu pengadilan dipersoalkan.
Biarpun mengambil pendekatan selamat untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, namun jelas beberapa keputusan pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali kurang disenangi pengendali KL City, Bojan Hodak.
Pihak pengurusan KL City akan membuat aduan berhubung kelemahan mutu pengadilan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengikut saluran yang betul.
“Saya tak mahu komen (mengenai perlawanan) sebab saya akan bercakap mengenai pengadil. Kalau saya tak bercakap mengenai pengadil, tiada apa yang nak diperkatakan. Saya tak boleh cakap mengenai pengadil kerana akan didenda.
“Boleh saya tanya anda semua, apa detik penting pada perlawanan tadi? Kami tidak gembira dengan pengadil dan akan menghantar klip video kepada FAM.
“Saya tidak mahu komen lanjut tapi kad merah membunuh perlawanan,” katanya.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, JDT meleburkan rekod ‘kebal’ 23 perlawanan KL City di laman sendiri sejak 2019 dengan kemenangan 3-0.
Gol pembukaan Harimau Selatan dijaringkan Fernando Forestieri sebelum Bergson da Silva meledak dua gol lagi selepas KL City terpaksa bermain dengan 10 orang ekoran layangan kad merah yang dikenakan terhadap Kenny Pallraj kerana mengasari Leandro Velazquez di minit ke-56.
Selepas tamat perlawanan, Kenny, 28, menulis di Twitter ‘Malaysia sudah merdeka, tetapi bola sepak Malaysia masih dijajah’ yang dipercayai merujuk kepada insiden tersebut.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora gembira dapat menundukkan KL City dengan jumlah gol sama seperti Piala Sumbangsih, bulan lalu.
“Sangat gembira dan sekali lagi menang dengan jumlah jaringan yang sama. Saya tidak kisah mengenai rekod kerana sejarah ataupun rekod tidak memberikan anda mata, kemenangan ataupun trofi,” katanya. – UTUSAN