ALOR SETAR: Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah setelah ia dibuat dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, semua tindakan yang diambil kerajaan negeri itu akan berlandaskan undang-undang Perlembagaan sedia ada dan tidak melanggar mana-mana peruntukan.
“Waris Sulu itu bukan duduk dalam Malaysia. Sultan pun sudah tiada. Kita ada lagi (Sultan). Jauh beza, tak sama tuntutan (Kedah ke atas Pulau Pinang dengan waris Sulu ke atas Sabah).
“Kita akan buat dalam kerangka Perlembagaan, yang kata tidak berperlembagaan itu macam mana. Kita akan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, tak langgar apa-apa,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah, di sini hari ini.
Akhbar ini semalam melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah selain menegaskan ia tidak berperlembagaan.
Muhammad Sanusi berkata, barisan peguamnya kini dalam proses menyediakan segala dokumen berkaitan tuntutan berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh kurang empat bulan lagi.
Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan terperinci berkaitan perkembangan proses penyediaan dokumen tersebut bagi mengelak kenyataan disalah tafsir atau dipetik di luar konteks.
Beliau tidak menolak kemungkinan untuk membawa isu berkenaan ke Majlis Raja-Raja sebagai sebahagian usaha membetulkan perkara yang menurutnya tidak diselesaikan dengan adil pada masa lalu.
“Kita akan pilih saluran yang sesuai sama ada ke mahkamah, Majlis Raja-Raja, perundingan dengan Kerajaan Persekutuan. Bukan kira nak berlawan saja, rundingan pun salah satu jalan. Kalau boleh elak kes mahkamah dengan rundingan, lebih baik runding. Takkan rundingan nak ditolak begitu saja.
“Apa salahnya kita betulkan apa yang silap dahulu, apa yang belum selesai dan dipaksa diselesaikan pada masa lalu. Kita rasa ada kes, ada isu, bawalah. Takkan semua tak berperlembagaan, kita pun baca buku juga, Insya Allah akan selesai dengan baik,” katanya. – UTUSAN










