MELAKA: Tunggakan gaji pemain Melaka United (MU) perlu diselesaikan sendiri oleh kelab dan bukannya Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA).
Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, isu gaji tertunggak hampir tiga bulan itu harus diselesaikan segera memandangkan MU adalah sebuah entiti swasta.
Jelasnya, beliau telah berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif MU, Datuk Seri Justin Lim dan mencadangkan supaya gaji pemain dibayar tepat pada waktunya.
“Kalau tidak diselesaikan segera ia akan bertambah sukar kerana mereka membawa nama Melaka. Saya tahu masalah gaji mungkin berlaku kerana ada pemain yang menerima gaji terlalu tinggi.
“Jika hendak bayar, kena bayar keseluruhan dan jangan pilih-pilih pemain. Masing-masing ada tanggungan.

“Kalau suruh mereka bermain atas padang selepas ini, mereka sekadar main sahaja dan tidak bersemangat,” katanya dalam sidang akhbar pasca Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri di sini semalam.
Skuad Sang Kancil masih gagal mengutip tiga mata penuh dalam saingan Liga Super musim ini selepas mengalami dua kekalahan dan satu keputusan seri.
Punca prestasi merudum pasukan itu didedahkan sendiri oleh jurulatihnya, Risto Vidakovic selepas pasukan itu kalah 0-1 kepada Sabah, baru-baru ini.
Sementara itu, Sulaiman yang juga Ketua Menteri memberitahu, beliau tidak mengetahui apakah punca yang menyebabkan kelab gagal membayar gaji pemain.
“Saya tidak tahu. Kena tanya MU sendiri. Isu ini tidak hanya terjadi di Melaka tetapi turut berlaku di mana-mana sahaja di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN