JDT lakar sejarah ke peringkat kalah mati ACL

JDT lakar sejarah ke peringkat kalah mati ACL

LEANDRO Velazquez meraikan jaringannya ketika membantu JDT menumpaskan Ulsan Hyundai dalam perlawanan Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia (ACL) setelah menewaskan juara dua kali, Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Lebih manis, keputusan perlawanan terakhir peringkat Kumpulan I menyaksikan skuad Benjamin Mora menamatkan saingan sebagai pendahulu dengan mencatat empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Gol sendiri pemain Ulsan, Park Yong Woo empat minit memasuki waktu kecederaan memastikan tiga mata berharga milik Harimau Selatan.

Beraksi di laman sendiri, JDT hampir memperoleh gol seawal minit kedua hasil gerakan Arif Aiman Hanapi yang menyelinap masuk dari sayap kanan sebelum mengumpan bola kepada Bergson Da Silva, namun peluang tersebut disia-siakan penyerang kelahiran Brazil itu.

Bergson terus mendatangkan resah buat lawan menerusi gerakan lincahnya dan berjaya memenangi sepakan bebas buat Harimau Selatan di kedudukan yang strategik.

PENYERANG JDT Fernando Forestieri diasak pertahanan Ulsan Hyundai, Valeri Qazaishvili dan Won Dujae pada aksi Liga Juara-Juara Asia. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Leandro Velazquez yang mengambil sepakan percuma itu berjaya menyempurnakan tugas dengan sempurna setelah tendangannya melepasi benteng sebelum menewaskan penjaga gol kebangsaan Korea Selatan, Jo Hyeon-woo pada minit kelima.

Kegembiraan JDT bagaimanapun tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Hong Myung Bo berjaya mengikat kedudukan 1-1 60 saat kemudian.

Kegagalan Mathew Davies mengeluarkan bola dari zon bahaya memberi ruang kepada Lee Myung Jae memintas sepakan lalu mengumpan bola kepada Jun Amano yang merembat deras menewaskan Farizal Marlias pada minit keenam.

Pasukan pelawat hampir menambah jaringan pada minit ke-14 ketika melakukan serangan pantas namun percubaan Yun Il-lok jauh tersasar.

Anak-anak buah Mora dilihat berdepan sedikit kesukaran beraksi pada waktu petang buat pertama kali pada kejohanan ACL musim ini.

Keadaan bertambah sukar setelah Natxo Insa yang dibawa keluar digantikan Nathaniel Hong Wan dilihat serba sedikit menjejas taktikal permainan JDT daripada segi penguasaan di bahagian tengah.

Ulsan Hyundai menggandakan asakan ke arah kubu JDT dan Amano sekali lagi cuba melakukan percubaan tepat ke arah pintu gol pada minit ke-17, namun kali ini Farizal lebih bersedia menguis rembatan tersebut.

Pada minit ke-24, pengadil perlawanan, Nawaf Abdulla Shukralla membuat keputusan kontroversi apabila menafikan jaringan gol Fernando Forestieri yang dikira sebagai ofsaid setelah menerima umpanan Afiq Fazail.

Bersambung babak kedua, JDT sekali lagi menjadi mangsa keputusan pengadil apabila pemain pertahanan lawan yang menjatuhkan Arif Aiman dalam kotak penalti tidak dihukum pengadil dari Bahrain itu pada minit ke-46.

Pada minit ke-60, Leandro hampir menambah jaringan peribadinya namun rembatan lencong dari luar kotak penalti sedikit tersasar melepasi pintu gol lawan.

JDT dilihat berjaya bertahan dengan baik mematahkan serangan bertali arus pasukan gergasi Korea Selatan itu yang berusaha menambah jaringan untuk meletakkan pasukan di kedudukan selesa.

Harimau Selatan hampir mencipta jaringan hasil percubaan pemain gantian iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah namun tidak berjaya menghasilkan gol.

Ketika JDT dilihat sudah hampir tersungkur di peringkat kumpulan, serangan terakhir pasukan tuan rumah menerusi hantaran ke Arif Aiman ke dalam kotak penalti dikuis masuk Yong Woo untuk meraih kemenangan penting dalam sejarah kelab itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya