LONDON: Selepas tamat drama kelayakan Piala Dunia 2022, Mohamed Salah dan Sadio Mane sekali lagi menjadi tumpuan penyokong Liverpool apabila Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali bersambung dengan kontrak dua penyerang itu terus mencetuskan tanda tanya.
Salah yang dikecewakan oleh Mane dalam penentuan sepakan penalti pada kelayakan Piala Dunia, Rabu lalu disenaraikan untuk bertemu Watford di Anfield hari ini biarpun baru kembali ke England.
Penjaring terbanyak EPL itu tiada masa untuk meratapi kekalahan atau merasa cemburu dengan Mane yang dua kali mengetuai Senegal mengalahkan Mesir dalam tempoh dua bulan.
Bagi Liverpool, implikasi kekalahan Mesir kepada Senegal mencetus kebimbangan terhadap hubungan Salah-Mane dan isu kontrak kedua-dua pemain memburukkan lagi keadaan.
Kontrak Salah dan Mane akan tamat pada musim panas 2023, dan sehingga kini tiada persetujuan dicapai untuk melanjutkan perjanjian.
Ketika Reds keberatan memenuhi tuntutan Salah untuk menaikkan gaji, Mane pula dilihat layak mendapat habuan sama selepas ‘sahamnya’ naik ekoran kejayaan membawa Senegal ke Piala Dunia di Qatar.
Berbaloikah Liverpool berbelanja besar untuk dua pemain yang menginjak usia 30 tahun?
“Banyak perkara kami bincangkan dengan Liverpool, namun sehingga kini belum ada rundingan lanjutan kontrak. Kami mahu menunggu sehingga musim berakhir sebelum bercakap mengenainya,” kata ejen Mane, Bjorn kepada TFM Senegal.
City hanya mendahului liga dengan satu mata ke atas Reds, malah kedua-dua pasukan akan berentap di Etihad pada 10 April, sebelum berentap sekali lagi dalam separuh akhir Piala FA, 16 April. – AGENSI