Dua kali Tok Gajah jadi ‘mangsa’ pengadil

Dua kali Tok Gajah jadi ‘mangsa’ pengadil

Christophe Gamel (kiri) dan pemain Sri Pahang amat kecewa selepas tiga mata yang sepatutnya diraih di Kuantan, Sabtu lalu ‘dirompak’ apabila seri 1-1 dengan Petaling Jaya City. - IHSAN SRI PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sri Pahang sekali lagi menjadi ‘mangsa’ mutu pengadilan lemah apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sendiri mengakui keputusan pengadil, Muhammad Usaid Jamal mengesahkan gol Petaling Jaya City (PJ City) dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu adalah salah.

Jaringan itu salah dari segi undang-undang permainan badan bola sepak dunia, FIFA dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, perkara tersebut disahkan selepas analisis menerusi rakaman video dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, semalam.

“Mengikut laporan daripada Penilai Pengadil, prestasi dan persembahan pengadil tersebut adalah baik di sepanjang perlawanan kecuali keputusan membenarkan gol tersebut pada minit ke-85.

“Selepas kita membuat penelitian menerusi rakaman video, memang keputusannya itu salah kerana gol tersebut dijaringkan dalam keadaan ofsaid iaitu pemain PJ City telah mengganggu pemain lawan dengan cara perlakuan yang jelas memberi impak terhadap kemampuan pihak lawan untuk memainkan bola.

PEMAIN PJ City meraikan gol penyamaan R. Barathkumar di Stadium Darul Makmur di Kuantan. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

“Hanya sekiranya pemain PJ City yang berkedudukan ofsaid itu tidak berada dalam laluan bola atau jauh daripada penglihatan penjaga gol lawan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan ofsaid,” kata Abang Zulkarnain.

Justeru beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengadil berkenaan.

Terdahulu, pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel meluahkan rasa kecewa dengan tindakan barisan pengadil di Stadium Darul Makmur yang menyaksikan pasukannya terikat 1-1 selepas membenarkan jaringan kontroversi pemain PJ City, R. Barathkumar pada minit ke-86.

Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana Khyril Muyhmeen berada dalam keadaan ofsaid, tetapi selepas bantahan oleh barisan pemain dan pegawai PJ City serta perbincangan antara pengadil bersama penjaga garisan, gol tersebut kemudiannya disahkan.

Situasi itu mengulangi, insiden sama berlaku pada 6 April lalu ketika tewas 1-0 kepada Kedah di Stadium Darul Aman apabila dua jaringan pemain Sri Pahang dibatalkan pengadil perlawanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN