Chelsea tak boleh ulangi kesilapan di Wembley

Chelsea tak boleh ulangi kesilapan

AKSI buruk Romelu Lukaku (kiri) yang hanya melakukan tujuh sentuhan sepanjang 90 minit ketika kali terakhir berdepan Crystal Palace, Februari lalu mungkin menyebabkan dia direhatkan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Selepas disingkirkan oleh Real Madrid pada suku ­akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu, Piala FA satu-satunya harapan Chelsea untuk menutup musim dengan trofi, namun pencabar mereka di separuh hari ini, Crystal Palace bukan semudah disangka.

Blues turun di Wembley de­ngan dibayangi pertemuan 19 Februari lalu. Biarpun menang 1-0 ke atas Palace dalam aksi terakhir mereka pada saingan Liga Perdana Inggeris, namun perlawanan itu berlangsung sengit.

Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel juga masih dibayangi ­insiden di mana penyerang mereka, Romelu Lukaku ha­nya melakukan tujuh sentuhan dalam tempoh 90 minit di ­Selhurst Park.

Biarpun gol Hakim Ziyech mengesahkan tiga mata buat Chelsea ketika itu, namun ia petang yang menghantui Tuchel dan mungkin mendorong pengendali dari Jerman itu mengetepikan Lukaku daripada kesebelasan utama hari ini.

Bermakna, Timo Werner dijangka menjadi pilihan untuk melengkapkan trio serangan bersama Kai Havertz dan Mason Mount.

“Saya sudah mempunyai bayangan barisan pemain dalam kepala, dan kami akan terus menganalisis Crystal Palace.

“Apabila melihat siapa yang mempunyai minit lebih banyak dalam perlawanan terakhir dan berada pada prestasi terbaik, ia tidaklah terlalu sukar (membuat) keputusan,” kata Tuchel.

Selain melihat Lukaku tenggelam dalam aksi terakhir menentang Palace, Tuchel turut melakukan kesilapan apabila meletakkan Christian Pulisic di sebelah kiri, di belakang Havertz. Kombinasi dua pemain ini gagal memberi impak. Ia kesilapan yang tidak mungkin berlaku di Wembley hari ini.

Havertz dijangka kekal mengetuai serangan bersama Mount dan Werne, manakala Mateo Kovacic, N’Golo Kante dan Marcos Alonso mengisi bahagian tengah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN