VILLARREAL, Sepanyol: Julian Nagelsmann menerima hakikat Bayern Munich tidak cukup bagus dan berhak kalah 1-0 kepada Villarreal pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara semalam.
Pengendali Bayern Munich itu mengakui, juara Eropah enam kali tersebut bernasib baik tidak kalah lebih besar selepas Villarreal menguasai perlawanan di Stadium La Ceramica.
“Ia kekalahan yang perlu kami terima. Pada babak pertama kami hanya ada sedikit kekuatan, kami tidak mencipta peluang dan hilang kawalan,” katanya.
Kekalahan tersebut menamatkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah Bayern di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara, namun kalah tipis memberi kelegaan buat pendahulu Bundesliga itu untuk bangkit di Allianz Arena, Rabu depan.
“Villarreal bukan lawan mudah seperti diperkatakan media tertentu. Kami kena mempersiapkan diri untuk membalas dendam,” kata penyerang Bayern, Thomas Mueller.
Jaringan tunggal Arnaut Danjuma seawal minit kelapan memberi harapan kepada Villarreal, yang pada awalnya dilabel sebagai lawan paling mudah di peringkat suku akhir.
Pengendali kelab Sepanyol itu, Unai Emery membuktikan mengapa dia berjaya menjulang empat trofi Liga Europa – tiga ketika membimbing Sevilla dan satu bersama Villarreal.
Selepas menyingkirkan Juventus di peringkat 16 akhir, mereka melemaskan Bayern dengan serangan bertali arus, dan memaksa penjaga gol, Manuel Neuer bekerja keras menyelamatkan gawang. – AGENSI