MELAKA: Sepanjang 36 tahun terlibat dalam bola sepak profesional, Risto Vidakovic mendedahkan, ini kali pertama dia tidak dibayar gaji dan pengalaman buruk itu dialami dalam Liga Malaysia (Liga M).
Jurulatih kelahiran Bosnia itu membuat pendedahan tersebut selepas pasukannya, Melaka United (MU) kalah 0-1 kepada Sabah dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat kelmarin.
Itu bermakna, skuad Sang Kancil masih gagal melakar sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan musim ini.

“Sepanjang menjadi pemain profesional sejak usia 17 tahun hingga menjadi jurulatih pada usia 53 tahun, ini situasi pertama (tidak dibayar gaji) yang saya hadapi.
“Saya dapat tahu ada pemain tidak menerima gaji antara dua hingga tiga bulan. Ada juga pemain datang ke MU hingga kini tidak mendapat apa-apa bayaran.
“Susah untuk saya bekerja kerana belum pernah berdepan masalah seperti ini. Situasi ini menyebabkan saya tidak ada semangat untuk melatih,” katanya yang pernah membimbing skuad kebangsaan Serbia, selain beberapa kelab di Eropah dan Asia.
Melaka menjadi pasukan Liga M terbaharu berdepan isu tunggakan gaji selepas Perak FC.
Vidakovic kini mungkin menyesali keputusan untuk menyertai Melaka kerana dia sebenarnya baru menandatangani kontrak bersama kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC.
Tindakannya meletak jawatan secara mengejut bersama Borneo demi memenuhi impian membimbing Melaka hanya selepas dua perlawanan menimbulkan kemarahan penyokong negara itu. – UTUSAN