JOHOR BAHRU: Misi Kelantan FC untuk kembali ke Liga Super musim depan bermula langkah kanan apabila menumpaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 dalam aksi pembukaan Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
Kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang dengan berbalas serangan sebaik sahaja sepak mula bagi memburu gol pembukaan.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ketujuh hasil jaringan Natanael Siringo Ringo menerusi serangan balas pantas sebelum bijak menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi.
Tersentak dengan jaringan itu, JDT II terus menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan menerusi percubaan Umar Hakeem Suhar Rezwan pada minit ke-17 namun rembatannya melewati palang.

Lima minit berselang, peluang sekali lagi berjaya dihasilkan pasukan tuan rumah berpunca daripada sepakan sudut tetapi tandukan Feroz Baharudin tepat ke arah penjaga gol.
Sebelum tamat babak pertama, Ahmad Hazwan Bakri berpeluang menguji kecekapan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat namun gagal berbuat demikian.
Bersambung babak kedua, Daniel Amier Norhisham mempunyai peluang keemasan untuk memecahkan kebuntuan buat JDT II namun percubaannya dihadang benteng pertahanan lawan.
Daryl Sham yang dibawa masuk pada awal babak kedua mengubah rentak permainan JDT II yang lebih meyakinkan dan berjaya mengucar-kacirkan benteng pertahanan The Red Warriors.
Daryl Sham akhirnya berjaya membantu pasukannya untuk menyamakan kedudukan apabila meledak gol menewaskan Ahmad Solehin pada minit ke-74.
Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan keputusan seri, Kelantan mengejutkan JDT II apabila meledak gol di minit terakhir.
Gol kemenangan Kelantan itu dijaringkan pemain gantian, Jasmir Mehat yang mudah menolak umpanan Fazrul Amir Md. Zaman untuk membawa pulang tiga mata. – UTUSAN ONLINE