Selepas Jerman, All England jadi sasaran - Utusan Malaysia

Selepas Jerman, All England jadi sasaran

NUR Izzuddin Rumsani (kanan) dan Goh Sze Fei meraikan kejayaan mereka pada Terbuka Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beraksi dalam kesakitan lutut, Nur Izzuddin Rumsani masih mampu meneruskan permainan dengan cemerlang untuk merangkul kejuaraan pertama dalam Jelajah Dunia bersama Goh Sze Fei pada Terbuka Jerman semalam.

Kata Nur Izzuddin, 24, dia bernasib baik kerana Sze Fei bermain dengan amat bagus dan berjaya menampung kekurangannya ketika menumpaskan pasangan China, Ou Xuanyi-Liu Yuchen 23-21, 16-21, 21-14 di Mulheim.

Ketiadaan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana positif Covid-19 digalas dengan sempurna oleh Sze Fei-Nur Izzuddin dan

kemenangan itu menyuntik semangat mereka sebelum menghadapi All England yang membuka tirai di Birmingham esok.

“Ketika sedang bermain, saya terdengar seperti bunyi ‘pop’ di lutut tapi saya gembira kami masih mampu memenangi perlawanan.

“Kami hanya cuba yang terbaik dan saya bertuah kerana pasangan saya banyak menampung kekurangan,” kata Nur Izzuddin selepas melakar kejuaraan terbesar dalam kariernya sejak muncul naib juara Malaysia Masters 2017.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menegaskan, beliau bukan orang yang patut disanjung atas peningkatan yang ditunjukkan pasangan negara kerana mereka sememangnya memiliki kualiti.

Kata Rexy, permainan pasangan No. 17 dunia itu di Jerman tidak banyak beza dengan apa yang dilihat ketika beliau tiba di Malaysia pada 1 Disember lalu.

“Tidak banyak berbeza (permainan dulu dan sekarang), saya cuma melihat peribadi mereka tidak stabil ketika itu, jadi saya selalu memberi motivasi.

“Dalam latihan saya hanya merubah cara berfikir dan bina kepercayaan yang sudah pun dimiliki. Saya lihat mereka bermain dengan tenang dan semua skil dapat dikeluarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya mengenai peluang di All England, Rexy berkata, jika pasangan negara kekal fokus, konsisten dalam permainan dan cara berfikir, tidak mustahil mereka boleh melangkah jauh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN