iTEKAD perkasa ekonomi B40, veteran ATM menerusi projek tanaman nanas - Utusan Malaysia

iTEKAD perkasa ekonomi B40, veteran ATM menerusi projek tanaman nanas

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin (tiga dari kiri) menyerahkan mock cek geran iTEKAD kepada wakil penerima dalam majlis di FGV Chuping Agro Valley, Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Pemberian geran iTEKAD buat 20 penerima terpilih di negeri ini merupakan inisiatif digerakkan bagi memperkasakan ekonomi golongan B40 dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi geran ini, Agrobank menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada penerima terlibat bagi melaksanakan Projek Penanaman Nanas MD2 di Chuping, di sini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, setiap penerima geran iTEKAD akan mendapat sebanyak RM5,000 seorang bagi menyokong pembelian peralatan tambahan untuk mengusahakan tanah yang disewa daripada Felda Global Ventures (FGV).

“Untuk projek tersebut, sebidang tanah telah disewa daripada FGV dengan keluasan 100 hektar untuk fasa pertama dan akan ditambah lagi 200 hektar pada fasa kedua.

“Setiap peserta juga akan diberikan lima ekar tanah untuk mengusahakan ladang nanas di bawah bimbingan Aqina Fruits Sdn Bhd,” katanya selepas penyerahan geran itu di FGV Chuping Agro Valley, di sini, hari ini.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad berkata, nanas yang diusahakan dalam tempoh 14 bulan akan dibeli oleh pihak Aqina malah tanaman itu juga disasarkan akan meraih hasil untuk empat kitaran bagi tempoh selama lima tahun.

Katanya, setiap kitaran itu akan menjana pendapatan buat pengusaha terlibat dan mereka juga akan dibayar sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sebulan untuk bekerja menguruskan tanaman ini.

“Agrobank Centre of Excellence (ACE) turut sediakan kemudahan latihan dari segi kewangan dan juga pemasaran buat peserta-peserta yang diberikan geran iTEKAD ini,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad berkata, projek penanaman nanas MD2 itu adalah antara usaha berterusan Agrobank dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi komuniti khususnya dalam kalangan berpendapatan rendah.

Katanya, penanaman ini dapat memberikan pendapatan lumayan di mana dalam tempoh enam tahun mereka boleh menjana lebih daripada RM500,000 untuk empat kitaran.

“Inisiatif kita untuk projek ini adalah bagi membantu tingkatkan pendapatan dan beri peluang buat golongan B40 serta veteran ATM meraih pendapatan menerusi penanaman nanas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN