Ronaldo ledak hatrik, pecah rekod - Utusan Malaysia

Ronaldo ledak hatrik, pecah rekod

CRISTIANO Ronaldo (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Tottenham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo meledak hatrik dan memahat sejarah sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 807 gol ketika membantu Manchester United mengalahkan Tottenham 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak menyimpan rekod rasmi, tetapi badan induk itu menganggarkan Josef Bican menjaringkan 805 gol sepanjang kariernya dari 1931 hingga 1955.

Ronaldo merembat gol pembukaan pada minit ke-12 di Old Trafford untuk menyamai rekod bintang Austria-Czech, Bican.

Kapten Portugal itu kemudian melepasi rekod tersebut apabila menampan hantaran Jadon Sancho untuk United mendahului 2-1 sebelum menanduk gol ketiga bagi membantu kemenangan 3-2.

 

Ini hatrik ke-59 dalam karier Ronaldo dan yang pertama di Old Trafford sejak kembali ke pangkuan Red Devils.

“Saya sangat gembira meledak hatrik pertama sejak kembali ke Old Trafford!

“Tiada perkara lain yang lebih menggembirakan saya selain dapat kembali ke padang dan membantu pasukan,” kata Ronaldo.

Semua gol Ronaldo terhasil ketika dia bersama Sporting Lisbon, United, Real Madrid, Juventus dan skuad kebangsaan Portugal.

Persatuan Bola Sepak Republik Czech berkata, jumlah gol keseluruhan Bican sebenarnya adalah 821 gol berikutan semakan statistiknya.

Penyerang Brazil, Pele dan Romario masing-masing menjaringkan lebih 1,000 gol sepanjang karier mereka tetapi statistik itu termasuk ketika dalam perlawanan amatur, tidak rasmi dan persahabatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN