MANCHESTER: Ralf Rangnick meragui kemampuan Cristiano Ronaldo untuk menerajui serangan Manchester United musim depan.
Menurut sumber, kesabaran Rangnick semakin menipis selepas Ronaldo hanya menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan terakhir, malah dia dilihat mulai hilang keyakinan buat kali pertama dalam kariernya.
Rangnick bagaimanapun tidak akan menggugurkan Ronaldo dalam perlawanan musim ini kerana ketiadaan penjaring gol yang boleh dipercayai.
Penyerang veteran, Edinson Cavani terlepas lima perlawanan terakhir kerana masalah pangkal paha dan menjaringkan dua gol sepanjang musim, manakala Marcus Rashford menjaringkan lima gol dalam tempoh empat setengah bulan.
Ronaldo yang genap 37 tahun pada 5 Februari diturunkan dalam kesebelasan utama untuk enam daripada tujuh perlawanan United sepanjang tempoh 22 hari bulan ini tetapi hanya menjaringkan gol ketika menentang Brighton.
Pemilik lima kali gelaran Ballon d’Or itu melakukan 28 percubaan ke gawang lawan pada Februari lalu dan dia lebih kerap dihukum ofsaid berbanding pemain Liga Perdana lain musim ini.
Ronaldo yang menyertai kembali Red Devils, Ogos lalu telah menjaringkan 14 gol dalam 20 perlawanan pertamanya tetapi ketika ini Ronaldo sedang mengalami kemarau jaringan.
Kali terakhir Ronaldo mengalami kemarau jaringan sejak 2008-2009 dan kecederaan pinggul yang dialaminya pada Januari lalu menyebabkan di diketepikan dengan digantikan oleh Cavani.
Rangnick, 63, yang memulakan peranan sebagai pengurus baharu United selama dua tahun bermula pada 1 Julai lalu, sudah berkata jelas bahawa United perlu menandatangani penyerang muda pada musim panas depan.
Kontrak Ronaldo akan tamat tahun depan, dan United mempunyai pilihan untuk menyambung setahun lagi manakala Cavani yang berusia 35 tahun pada Februari lalu telah terlepas 22 daripada 37 perlawanan United musim ini. – AGENSI