PETALING JAYA: Pengendali Melaka United, Risto Vidakovic sudah menjangkakan aksi pembukaan pasukannya tidak akan berjalan sempurna ekoran persiapan pramusim yang serba tidak kena.
Kelmarin, Melaka yang dibarisi lima tonggak import Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti, Adriano dan Justin Baas gagal menyaingi Petaling Jaya City FC (PJ City) yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan apabila kalah 1-0 pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Dengan kehadiran beberapa nama besar dalam bola sepak tempatan seperti Norshahrul Idlan Talaha, Fadhli Shas dan Norazlan Razali, skuad Sang Kancil menjadi pilihan untuk pulang bersama tiga mata.
“Saingan musim ini berlangsung awal dan kami mulakan persiapan pramusim agak lambat dan saya tahu, kita akan tertekan kerana ramai pemain yang datang lewat termasuk ada yang mula 10 hari sebelum liga bermula.
“Kita ramai pemain baharu musim ini dan ada perkara-perkara lain, jadi kita masih lagi jauh daripada tahap yang kita mahukan.
“Hari ini (kelmarin) terutama babak pertama kita tidak bermain baik.
“Kita tidak bermain sebagai satu unit dan kita kena perbaiki kelemahan yang ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Ditanya berapa lama tempoh yang diperlukan untuk mencari keserasian dan meningkatkan persembahan pasukan, jurulatih dari Bosnia itu berkata, dia tidak mempunyai jawapan sebaliknya hanya mahukan pemain terus menunjukkan komitmen dalam latihan.
Katanya, banyak kerja rumah perlu dilakukan apabila bertandang ke Stadium Bandaraya esok untuk berdepan Penang F, yang pasti cuba bangkit selepas kalah kepada Johor Darul Ta’zim dalam aksi pertama.
Vidakovic juga tidak menafikan mahupun mengesahkan khabar angin pemainnya memboikot latihan pramusim selepas Melaka difahamkan lewat membayar gaji pemain.