LONDON: Pengadil akan diberikan kemudahan dan akses untuk berlatih bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan bagi meningkatkan hubungan pegawai perlawanan dengan pemain di atas padang.
Perkara itu dipersetujui selepas pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick mencadangkannya dalam sidang kemuncak antara pengurus kelab EPL dengan ketua pengadil, Mike Riley baru-baru ini.
Di tengah-tengah kebimbangan pengurus mengenai prestasi pegawai, pengendali dari Jerman itu mencadangkan bahawa hubungan antara pemain dan pegawai boleh dipertingkatkan jika pengadil mengikuti latihan dengan bintang mereka di padang latihan.
Cadangan Rangnick itu mendapat persetujuan hampir seluruhan pengurus yang bersetuju bahawa pengadil harus diberi akses kepada kemudahan peringkat elit di semua kelab EPL.
Revolusi yang dibawa Rangnick kini diperhalusi oleh Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) dan boleh dimulakan musim depan.
Walaupun belum ada butiran, langkah itu akan menyaksikan pegawai dibenarkan menggunakan kemudahan di kelab, dan mereka boleh mengadili perlawanan di padang latihan sebagai sebahagian percubaan.
Rangnick percaya, kehadiran pengadil seperti Anthony Taylor, Michael Oliver dan Kevin Friend di padang latihan membolehkan mereka mengenali pemain secara lebih dekat.
Rata-rata pengurus pasukan yang menyertai sidang kemuncak itu percaya, cadangan Rangnick sangat baik di sebalik kebimbangan terhadap pelbagai keputusan kontroversi pengadil pada musim ini.
Jurgen Klopp dari Liverpool, Dean Smith (Norwich), Frank Lampard (Everton) dan Graham Potter (Brighton) turut menekankan keperluan pegawai berpengalaman mengendalikan video bantuan pengadil (VAR) , manakala clear and obvious dikaji semula.
Ketika sidang kemuncak itu, kebanyakan pengurus juga meminta penjelasan berhubung amalan kontroversi pegawai melambatkan bendera ofsaid, dan Riley berkata, mereka sedang berusaha untuk mengurangkan bilangan kejadian itu. – AGENSI