PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon semakin sibuk untuk memahami dan mengenali bola sepak Malaysia apabila mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam semalam.
Selepas melawat kemudahan Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu dan menonton perlawanan Sumbangsih antara JDT menentang Kuala Lumpur City (KL City), Sabtu lalu, pengendali dari Korea Selatan itu bersama barisan kejurulatihannya bertemu Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan pandangan.
Tengku Amir turut membawa Pan Gon melihat sesi latihan Selangor FC yang dikendalikan oleh Michael Feichtenbeiner.
“Saya harap staf kejurulatihan baharu yang diketuai oleh beliau (Pan Gon) akan dapat membawa kejayaan kepada skuad Harimau Malaya.
“Sudah tentu dengan kehadiran barisan kejurulatihan import ini, kita mahu melihat mereka ini dapat berkongsi ilmu pengetahuan bola sepak dan ini peluang untuk pemain-pemain kita meningkatkan lagi tahap permainan apabila dipanggil ke pasukan kebangsaan.
“Ia akan memberikan kita satu perspektif baharu, idea baharu untuk cara kita berlatih, cara mempersiapkan pasukan dan juga dari sudut taktikal.
“Harap prestasi pasukan kebangsaan akan lebih meningkat dan kita dapat mencapai kemenangan serta kejayaan yang lebih baik,” kata Tengku Amir Shah.
Pemain terbaik
Turut bersama dalam lawatan itu ialah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Pan Gon kini dalam misi memilih pemain terbaik bagi tugasan sulungnya pada aksi kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hujung bulan depan.
Pan Gon akan berdepan ujian pertamanya bersama skuad kebangsaan apabila Harimau Malaya dijadual menentang Filipina dan Singapura dalam aksi persahabatan yang akan berlangsung di Singapura.
Situasi jelas kritikal buat pengendali dari Korea Selatan itu memandangkan selepas aksi Sumbangsih, dia hanya memiliki 12 perlawanan Liga Super untuk menilai pemain yang dirasakan berpotensi untuk dipanggil menyertai kem kebangsaan.
Begitupun ada lagi 10 perlawanan dalam Liga Perdana sekiranya dia berhasrat untuk ‘menggali’ lebih dalam dan memberi peluang kepada muka baharu sekali gus membentuk kombinasi lebih ‘segar’ untuk skuad kebangsaan kali ini.
Cabaran sebenar pasukan negara adalah kempen Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Jun ini.