Liga belum mula Perak dah ‘berduka - Utusan Malaysia

Liga belum mula Perak dah ‘berduka

PEMAIN Perak FC tetap bersemangat biarpun berdepan dugaan besar untuk memulakan kempen Liga Malaysia musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Setiap tahun, musim baharu Liga Malaysia (Liga M) pasti amat dinantikan oleh 12 pasukan Liga Super dan 10 Liga Perdana.

Begitupun, Perak FC yang dipalit isu gaji dan masalah kewangan hingga tersungkur ke Liga Perdana musim lalu mungkin mengharapkan liga musim ini tidak perlu bermula seawal esok kerana persiapan mereka tampak serba pincang.

Pada ketika isu gaji masih belum selesai, Perak yang hanya boleh mendaftarkan 20 pemain (termasuk tiga penjaga gol) gara-gara sekatan pendaftaran pemain baharu berdepan pula masalah kecederaan pemain.

Difahamkan, tiga pemain tidak boleh beraksi kerana masalah Anterior Cruciate Ligament (ACL), bermakna Bos Gaurus hanya mempunyai 13 hingga 14 pemain untuk mengharungi lapan aksi Liga Perdana.

Sedar isu gaji mampu menggugat fokus pemain yang akan membuka tirai Liga Perdana berdepan Kelantan United esok, Perak FC berjanji akan melunaskan tunggakan dua bulan selewat-lewatnya pada 7 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah, dalam kenyataannya semalam menyatakan bahawa pihak pengurusan akan membuat pembayaran itu selewat-lewatnya pada 7 Mac ini.

Muhammad Yunus membuat kenyataan itu berikutan isu itu tular dalam media sosial bahawa pemain tidak menerima gaji selama dua bulan.

“Saya minta pemain bersabar sehingga 7 Mac. Kita akan bayar gaji seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing,” katanya..

G. Irudianathan dalam sidang akhbar Pafa di Ipoh semalam. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mendakwa berlaku penyelewangan dalam urus tadbir kewangan Perak FC oleh bekas Ahli Lembaga Pengarah (DOB) kelab itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri G. Irudianathan membuat dakwaan itu berikutan kenya­taan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan RM7 juta kepada kelab.

“Saya hendak tanya kepada mereka, ke mana pergi wang berjuta ringgit yang disalurkan kepada pasukan bola sepak Pe­rak oleh kerajaan negeri?

“Bukankah wang itu sepatutnya digunakan untuk membayar segala hutang? Kenapa masih ada tunggakan gaji pemain,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Irudianathan berkata, beliau dimaklumkan kerajaan negeri telah memberikan beberapa projek pasir kepada Perak FC tetapi tiada maklumat mengenainya.

“Mungkin ada berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Mengenai tunggakan, RM1.7 juta beliau hairan bagaimana seorang pemain yang langsung tidak bermain untuk Perak boleh menerima gaji lumayan hingga boleh membuat tuntutan.

“Ini adalah antara penyelewengan yang dimaksudkan itu. Siapa punya angkara ini?

“Selain itu ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta ahli lembaga Pengarah (BOD) yang meletak jawatan selepas hanya beberapa bulan dilantik ke jawatan.

“Saya mahu siasatan dilakukan untuk mencari siapa punca dan penyebab masalah hutang Pafa yang keseluruhannya bernilai hampir RM10 ke RM11 juta,” katanya.

Justeru, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemilik Perak FC, Impact Media and Communication (IMC) Sdn. Bhd sama ada memanjangkan perkara itu.

“Jika IMC bersetuju kami akan buat aduan agar tindakan diambil. Masa itu saya akan dedahkan nama-nama mereka semua, “katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pafa sudah bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada 7 Mac ini.

“Pafa sudah menyerahkan segala dokumen yang diminta dan bersedia untuk mengadakan pertemuan itu “katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya