LONDON: Gareth Southgate kesal dengan segelintir penyokong England yang mengejek Harry Maguire ketika pasukan itu menumpaskan Ivory Coast 3-0 dalam aksi persahabatan di Wembley semalam.
Prestasi buruk Maguire bersama Manchester United menjadi topik hangat sebelum Liga Perdana Inggeris berehat bagi memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa, namun Southgate menganggap persembahan bek tengah itu tiada cacat cela dalam skuad kebangsaan.
Maguire yang diturunkan dalam kesebelasan utama diejek setiap kali mendapat bola, malah situasi sama berlaku ketika England menentang Switzerland minggu lalu.
“Saya rasa layanan terhadapnya tidak masuk akal, mengarut. Apa yang dia sudah lakukan untuk kita, cara dia beraksi buat England cukup luar biasa. Saya tidak faham.
“Dia menyarung jersi England. Anda perlu menyokong pemain yang memakai jersi tersebut, apatah lagi dia menampilkan aksi cemerlang buat kita.
“Mereka adalah peminat England, saya tidak tahu apakah mereka dipengaruhi perkara lain di media sosial, namun ia sama sekali tidak boleh diterima. Mengapa pemain boleh bermain dengan lebih baik? Kerana ada peminat di belakang pasukan,” katanya.
Ejekan terhadap Maguire membayangi kemenangan England dalam perlawanan yang menyaksikan 10 pertukaran dilakukan daripada skuad yang menewaskan Switzerland 2-1, Sabtu lalu.
Jaringan Ollie Watkins, Raheem Sterling dan Tyrone Mings memberi kemenangan buat The Three Lions, manakala Ivory Coast menutup saingan dengan 10 pemain selepas Serge Aurier dilayangkan kad merah pada minit ke-40. – AGENSI