LONDON: Chelsea dibenarkan menggunakan 110 juta pound (RM602 juta) untuk mengharungi baki saingan musim ini selepas kerajaan Britain bersetuju melonggarkan sekatan yang dikenakan terhadap kelab.
Gergasi Liga Perdana Inggeris itu, sebelum ini terkena tempias gara-gara sekatan yang dikenakan terhadap pemilik mereka, Roman Abramovich.
Aset Abramovich di Britain dibekukan kerana didakwa kroni kepada Presiden Rusia, Vladimir Putih yang melancarkan pencerobohan terhadap Ukraine.
Akibatnya, semua akaun dan kad kredit korporat Chelsea dibekukan, kelab juga tidak dibenarkan menjual tiket perlawanan, barangan cenderahati, menjual atau membeli pemain, selain tidak boleh memperbaharui kontrak mereka.
Juara Eropah itu berisiko bankrap dalam masa 17 hari jika kerajaan Britain tidak melonggarkan sekatan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan untuk membayar gaji serta perbelanjaan lain.
Begitupun, selepas mengadakan rundingan dengan kerajaan, Blues akhirnya dibenarkan menggunakan wang hadiah dan bayaran hak penyiaran yang dibekukan sebelum ini.
Chelsea boleh menggunakan pendapatan daripada hak penyiaran Liga Perdana dan Liga Juara-Juara sehingga akhir musim, termasuk wang hadiah daripada kejohanan domestik serta Eropah.
Bagaimanapun rayuan Chelsea untuk dibenarkan menjual tiket perlawanan bagi baki saingan musim ini ditolak. – AGENSI