MANCHESTER: Cristiano Ronaldo yang berang dengan pengadil ketika membenarkan gol pertama Atletico Madrid mencadangkan pegawai perlawanan memakai cermin mata ketika Manchester United tumpas 0-1, sekali gus tersingkir dari Liga Juara-Juara secara agregat 1-2.
Memulakan permainan dengan motivasi tinggi, kekalahan itu amat mengecewakan bintang Portugal tersebut dan menyebabkan Red Devils mengharungi lima musim tanpa sebarang trofi.
Sabtu lalu, Ronaldo meledak hatrik ketika United menumpaskan Tottenham 3-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 807 gol.
Selepas kemenangan itu, pasukan meletakkan harapan tinggi untuk menumpaskan Atletico dan melangkah ke suku akhir saingan kelab elit Eropah.

Bagaimanapun, United gagal mempamer magis di depan penyokong sendiri, dan tandukan Renan Lodi pada minit ke-42 memastikan Atletico meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya.
Lodi menanduk umpanan silang Antoine Griezmann untuk menewaskan penjaga gol United, David de Gea dan meletakkan Atletico di depan.
Love this team ❤️? pic.twitter.com/67hfLxWx04
— Atlético de Madrid (@atletienglish) March 16, 2022
Pemain United memprotes jaringan tersebut kerana mendakwa pemain lawan telah melakukan kekasaran terlebih dahulu ke atas Anthony Elanga.
Ronaldo menjerit kepada Slavko Vincic sambil menunjukkan isyarat cermin mata kerana menganggap penglihatan pengadil dari Slovenia itu tidak jelas dan dia gagal melihat insiden yang berlaku.
Bantahan mereka bagaimanapun tidak berjaya. Selepas melihat ulang tayang video bantuan pengadil (VAR), keputusan pengadil kekal, begitu juga dengan gol Lodi. – AGENSI