‘Kemenangan yang tak akan dilupakan sepanjang hayat’ - Utusan Malaysia

‘Kemenangan yang tak akan dilupakan sepanjang hayat’

RAFAEL Nadal bersama trofi Terbuka Australia selepas mengalahkan Daniil Medvedev di Melbourne semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Rafael Nadal me­ngakui, dia mengejutkan dirinya sendiri apabila bangkit daripada ketinggalan dua set ketika me­numpaskan Daniil Medvedev dalam pertarungan lima set untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia kelmarin.

Kata Nadal, 35, kemenangan ini detik paling beremosi yang ‘tidak akan dilupakan sepanjang hayat’ selepas menang 2-6, 6-7 (5/7), 6-4, 6-4, 7-5 dalam masa 5 jam 24 minit menentang pemain yang 10 tahun lebih muda.

“Ini perlawanan pa­ling beremosi dalam karier saya dan saya bagaikan hilang kata-kata.

“Sejujurnya, sebulan sete­ngah lalu saya masih tidak tahu apakah saya mampu kembali bermain tenis,” kata Nadal yang memahat sejarah sebagai pemain lelaki pertama memenangi 21 gelaran Grand Slam.

Kata jaguh Sepanyol itu, ia bukan sekadar tentang memahat sejarah tetapi ‘perjuangan’ hebat yang dilaluinya.

Nadal terpaksa melupakan Terbuka Amerika Syarikat, Wimbledon serta Sukan Olimpik tahun lalu akibat sakit tulang kaki, malah dijangkiti Co­vid-19 bulan lalu dan hampir menarik diri daripada Terbuka Australia.

Sementara itu, Medvedev me­ngakui, dia bukan sahaja kalah kepada Nadal, malah peminat.

Sebelum Nadal melakukan servis di set kelima, kedengaran jeritan seorang penonton: “Ayuh Daniil.”

Begitupun jeritan itu disahut dengan ejekan seluruh penonton di stadium.

“Malam ini sangat gila. Penonton ‘gilakan’ Rafa, saya dapat rasakan,” kata jaguh ­Rusia, Medvedev. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN