fbpx

‘Ubi muda’ pertaruhan berbaloi Harimau Kumbang

AKSI Penang Black Panthers ketika menentang Bomba Fighters pada minggu pertama STL 2021/2022. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mempertaruhkan bakat ‘ubi muda’ yang rata-ratanya dilahirkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) keputusan berbaloi buat Penang Black Panthers kini mengumpul empat mata penuh hasil dua kemenangan pertama dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 minggu lalu.

Jurulatih Penang Black Panthers, Mohamad Fazil Mohd. Asri berkata, pasukannya hadir dalam saingan STL tanpa sebarang tekanan kerana fokus anak-anak buahnya ialah mempamer permainan cantik, sebelum kemenangan menjadi buruan.

“Mereka terdiri daripada pemain muda, masih mentah pengalaman. Jadi, saya maklumkan kepada mereka jangan tertekan apabila masuk gelanggang.

“Apa yang penting saya mahu mereka ubah ‘mind set’ dengan memberi fokus kepada permainan yang cantik, sebab saya mahu mereka beraksi tanpa tekanan.

“Mungkin semangat pemain-pemain muda ini membolehkan kami mencuri peluang untuk menghasilkan mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Skuad Harimau Kumbang itu menundukkan Negeri Sembilan Antlers 22-20, 16-21, 21-17 dalam aksi pertama, sebelum mengetepikan Bomba Fighters 23-21, 21-17.

Kata Fazil, apit kanan, Mohamad Haikal Jamil yang diturunkan menentang Bomba merupakan pemain Sukma dan dia mengambil masa yang agak panjang untuk menyesuaikan dirinya dengan perlawanan tersebut.

“Pemain-pemain baharu ini ambil masa dalam satu set atau satu game untuk mereka mendapatkan rentak, berbeza dengan pemain berpengalaman seperti kapten, Muhammad Zaim Razali yang cukup pantas menyesuaikan dirinya,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang ketiadaan Muhamad Zulhusni Basri pengendali Penang Black Panthers itu berkata, khidmat pemain tersebut memang diakui penting, tetapi ia tidak sampai mengganggu persembahan pasukan.

“Kita ada dua lagi apit kiri yang agak sama prestasi seperti kapten, Zaim. Jadi tiada masalah beraksi tanpa Zulhusni, walaupun saya akui dia pemain yang bagus dan sangat rajin,” katanya.

Fazil juga berharap Zulhusni dapat pulang ke pangkuan pasukan secepat mungkin sebelum menjelang aksi hujung minggu ini memandangkan kecederaannya tidaklah begitu serius.

Penang Black Panthers berdepan cabaran getir apabila STL 2021/2022 bersambung hari ini apabila bakal berdepan juara berganda musim lalu, Kuala Lumpur (KL) Thunder pada pukul 8 malam ini, diikuti Selangor Pistons esok.

POPULAR

KOSMO! TERKINI