Tolak tawaran lumayan demi balas jasa Malaysia - Utusan Malaysia

Tolak tawaran lumayan demi balas jasa Malaysia

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan, beliau pernah beberapa kali menolak tawaran yang menjanjikan habuan lumayan jika menyertai pasukan profesional untuk berlumba dalam siri perlumbaan di Jepun dan Eropah.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata, semua tawaran ditolak secara baik kerana fokusnya hanyalah menjalankan tanggungjawab kepada negara tercinta, selain mahu membayar segala pelaburan yang dikeluarkan Malaysia untuk dirinya.

Kata bekas juara dunia itu, di awal penghijrahannya ke Melbourne, Australia, beliau pernah mendapat tawaran pasukan Profesional Drapac bagi acara lebuh raya dengan pengasas pasukan, Michael Drapac sendiri mengutarakan idea kepada ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley untuk ‘meminang’ dirinya.

AZIZULHASNI Awang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Siapa tidak kenal pasukan UCI pro benua itu yang pernah dianggotai oleh dua pelumba lebuh raya handalan negara Adiq Husaini dan Amir Mustafa. Selepas berbincang dengan John Beasley saya akhirnya menolak dengan baik tawaran berkenaan,” kata Azizulhasni semalam.

Juara dunia keirin 2017 itu berkata, di atas kecemerlangan dan aksi konsisten dalam acara keirin, selain corak perlumbaannya yang penuh taktikal dan gemar ditonton peminat tegar berbasikal trek, dia beberapa kali mendapat tawaran daripada Persatuan Keirin Jepun (JKA) untuk berlumba di negara berkenaan.

“Penuh dengan tradisi, saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan. Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba disana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan di sana.

“Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran berkenaan dengan penuh hormat. Oleh sebab itu mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku.

“Saya juga banyak kali ditawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Six-day track series yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

“Semua ini adalah kerana saya mengutamakan tanggungjawab saya kepada pasukan negara tercinta. Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ianya akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya.

“Akan tetapi ianya akan mengganggu perancangan dan persiapan untuk kejohanan-kejohanan utama termasuk temasya sukan yang menjadi keutamaan buat pasukan negara. Saya sedia maklum yang Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk memastikan saya berada di mana saya berada pada hari ini.

“Oleh itu, saya sentiasa pastikan setiap wang yang dilaburkan akan saya cuba untuk balas balik baik dari segi pencapaian, pengorbanan mahupun memberi kembali (giving back) kepada masyarakat dan juga negara tercinta,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya