Sel Stem dan kejuruteraan tisu kini semakin popular terutama dalam pelancongan kesihatan disebabkan manfaatnya dalam penjagaan kesihatan terutama dalam merawat penyakit kronik.
Namun apabila bercakap mengenai stem sel dan kejuruteraan tisu, ramai masih keliru dan tidak begitu memahami mengenai fungsi sebenar Sel Stem secara mendalam. Sebaliknya, kebanyakan orang mengakui menggunakan
Sel stem daripada buah-buahan seperti epal, buah beri atau tumbuhan lain bagi penjagaan kesihatan yang untuk mengatasi masalah penuaan kulit wajah.
Justeru, Persatuan Kejuruteraan tisu dan Perubatan Regeneratif Malaysia (TESMA), menyedari keperluan bagi menangani salah faham dan kekeliruan mengenai penggunaan Sel Stem yang sebenarnya lebih daripada sekadar untuk kecantikan semata-mata.
Presiden TESMA, Prof. Dr. Norshariza Nordin berkata, pada masa ini, tahap kesedaran orang ramai perlu ditingkatkan, bahawa sel stem bukanlah produk yang dijual di pasaran dengan pelbagai dakwaan.
“Sel Stem ada dalam semua kehidupan yang bertindak sebagai ‘alat ganti’. Kalau tiada Sel Stem, tiada manusia hidup kerana ia asas dalam semua benda hidup. Manusia terbentuk daripada persenyawaan telur dan sperma, apabila bermulanya proses pembahagian sel, itu adalah Sel Stem. Sel stem manusia juga berbeza dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan,” katanya kepada media baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden TESMA, Prof. Madya Dr. Wan Safwani Wan Kamarul Zaman, Bendahari Kehormat, Dr. Siti Aminah Muhammad Imran dan Exco dan Prof. Madya Dr. Fazlina Nordin.

TESMA mempunyai misi untuk memberikan kesedaran kepada komuniti mengenai manfaat Sel Stem dan kejuruteraan tisu ke atas kesihatan selain menjalankan pelbagai kajian yang memanfaatkan Sel Stem untuk kesihatan.
“Antara contoh kajian yang sedang dijalankan oleh penyelidik di Malaysia adalah penggunaan Sel Stem untuk masalah kesuburan. Masalah kesuburan, dikaitkan dengan gaya hidup masa kini, pemakanan dan sebagainya. Ia bukan saja berlaku ke atas wanita tetapi juga lelaki.
“Cara mengatasinya banyak. Sel Stem boleh menghasilkan pelbagai sel dalam badan kita. Dalam kesuburan, kita mengharapkan Sel Stem dapat membantu membina sel baharu dalam sistem pembiakan atau reproduksi manusia,” katanya.
Hasilkan sperma
Sementara itu, kata Dr. Siti Aminah Muhamad, penggunaan Sel Stem bukan sekadar membantu masalah kesuburan tetapi juga merawat pelbagai penyakit memerlukan regeneratif tisu.
“Sel Stem daripada tali pusat digunakan bagi mengatasi masalah ini di mana ia mampu menjadi pelbagai sel lain, menghasilkan sperma kepada sel reproduktif baharu dan membantu tisu endokrin menghasilkan hormon yang diperlukan. Di Malaysia, banyak penyelidikan berkaitan Sel Stem dijalankan.
“Di Hospital HUKM, kami cuba menghasilkan Sel Stem manusia menggunakan embrio yang tidak digunakan lagi. Ia mungkin dari pasangan yang sudah melalui IVF tetapi salah seorang sudah meninggal dunia. Embrio berkenaan tidak boleh digunakan dan mungkin dibuang. Bagaimanapun, kami perlu mendapatkan kebenaran daripada pasangan untuk menggunakannya dalam kajian,” katanya.
Setakat ini, di Malaysia, tiada lagi Sel Stem yang diambil daripada embrio manusia dan biasanya Sel Stem ini dibeli dari luar negara. Bagi mengatasi masalah kos, usaha sedang dijalankan bagi menghasilkan Sel Stem dari embrio manusia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Antara kelebihan Stem Sel daripada embrio manusia, ia boleh menjadi pelbagai jenis sel, selain plasenta atau uri. Berbanding Sel Stem sum sum tulang orang dewasa, ia hanya boleh menjadi sel-sel darah, putih atau merah saja.
Bagaimanapun, disebabkan isu etika, pada masa ini, Sel Stem embrio manusia tidak boleh digunakan kerana masih tidak diketahui perubahan yang mungkin berlaki dan membahayakan.
Atasi mati pucuk
TESMA juga sedang menjalankan kajian menggunakan Sel Stem untuk mengatasi masalah mati pucuk atau disfungsi ereksi (ED) dalam kalangan lelaki. Di Jerman, beberapa saintis menggunakan molekul atau sel protein daripada Sel Stem serta hasil rembesan sel stem.
Dr. Norshariza berkata, apabila Sel Stem dibiakkan, ia akan merembeskan molekul-molekul yang teraputik ke dalam medium yang boleh digunakan untuk merawat masalah mati pucuk. Namun di Malaysia, ia masih di peringkat perbincangan.
“Pada masa ini, saya sedang menumpukan kepada penyakit penuaan saraf seperti Alzheimer dan Demensia. Penyakit ini terjadi kerana kehilangan neuron berterusan dalam otak. Sel stem boleh membiakkan sel baharu. Dalam piring kultur, kita biakkan sel stem, yang berkemampuan menjadi sel neuron pelbagai jenis yang kemudiannya dipindahkan ke otak manusia,” terangnya.
Sementara itu, Dr. Wan Safwani berkata, kajian yang dijalankannya adalah ke arah memahami mekanisme Sel Stem dan ciri-cirinya.
“Stem sel sangat sensitif kepada persekitaran. Ia dikultur menggunakan persekitaran berbeza, di mana tahap genetik berbeza. Penyelidikan memang banyak tetapi untuk ke arah komersial, agak perlahan.
“Daripada sudut farmasi, dalam makmal ia nampak berbeza dengan tindak balas ke atas tubuh manusia. Sekarang tidak banyak kajian tindak balas ini. Kita mahu melihat kesan jumlah sel ke atas rawatan itu sendiri. Aspek lain perlu ditekankan, berapa lama perlu memantau pesakit selepas rawatan sel ini,” katanya.
Katanya, tidak dinafikan dari segi rawatan, Sel Stem banyak manfaat seperti memulihkan tisu tendon dan ligamen. Sebagai contoh, rawatan lutut untuk yang pernah dilalui oleh juara badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
biak
Semula sel
Menurut, Dr. Fazlina Nordin pula, ramai beranggapan satu sel stem boleh mengubati pelbagai penyakit. Hakikatnya ia bukan menyembuhkan tetapi ia kaedah membiakkan semula sel yang baik.
“Contoh, apabila luka, pernahkah terfikir bagaimana luka itu bertaut dan ada tisu baharu? Inilah dilakukan Sel Stem. Seperti sel darah, selepas 120 hari ia akan mati. Fungsi Sel Stem mengembalikan sel baharu,” jelasnya.
Di Malaysia produk Sel Stem perlu melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendapatkan kelulusan sebelum dipasarkan. Setakat ini semua produk Sel Stem ini masih di dalam kajian dan tidak dibenarkan untuk digunakan di mana-mana pasaran._
Ini berkaitan persoalan etika, keselamatan, cara penggunaan dan memastikan sel stem itu selamat untuk digunakan selain keupayaan sel stem itu memperbaiki masalah kesihatan.-UTUSAN










