BAFOUSSAM, Cameroon: Gol menakjubkan Sadio Mane membawa Senegal ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) selepas menewaskan sembilan pemain Cape Verde 2-0 semalam.
Bintang Liverpool itu melakukan rembatan lencong untuk membuka jaringan pada minit ke-63 dalam saingan 16 akhir yang mencetus kontroversi.
Pengurusan Senegal dikecam gara-gara membenarkan Mane meneruskan permainan selepas dia mengalami gegaran di kepala pada minit ke-52.
Mane bertembung dengan penjaga gol Cape Verde, Vozinha ketika kedua-dua pemain mengejar bola dalam situasi 50-50 dan mereka dilihat terbaring selepas itu.
Pertembungan tersebut menyebabkan Vozinha menjadi pemain kedua dibuang padang selepas Patrick Andrade dilayangkan kad merah pada minit ke-21 berikutan terjahan terhadap Pape Gueye.

Mane, 29, yang tidak dihukum meneruskan permainan walaupun kepalanya tersembam ke tanah ketika insiden berlaku dan tampak menahan sakit.
Selepas menjaringkan gol dalam keadaan kesakitan, Mane kemudian digantikan dengan Bamba Dieng yang berjaya meledak gol kedua Senegal pada waktu kecederaan.
“Sadio Mane sepatutnya dikeluarkan segera selepas pertembungan itu atau tidak dibenarkan meneruskan permainan,” tulis seorang pengguna Twitter yang marah.
Pemilik akaun Joe Dixon menambah: “Tidak percaya, Mane dibenarkan bermain selepas peslanggaran itu. Dia patut dikeluarkan.”
“Menjaringkan gol dalam keadaan tidak selesa selepas terbaring sesuatu yang sangat mengejutkan.
“Dia patut dikeluarkan serta merta,” kata seorang lagi peminat di Twitter.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan 16 akhir semalam, juara dunia kali, Maghribi mengetepikan cabaran sengit Malawi 2-1 untuk melangkah ke suku akhir. – AGENSI