fbpx

Putrajaya Cyborg ‘mengganas’ lagi

APIT kanan Putrajaya Cyborg, Mohamad Muslim M. Ramli (kanan) melakukan libasan ketika menentang Kelantan Warriors pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu demi satu keputusan sensasi dilakar Putrajaya Cyborg, kali ini pendatang baharu Premier itu mengejutkan Kelantan Warriors dalam aksi sengit 2-1 pada saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Zulkarnain Arif itu bangkit daripada ketinggalan di set pembukaan sebelum menang 19-21, 21-12, 21-19 untuk mencatat kemenangan kelima daripada lapan perlawanan setakat ini.

PEMAIN Putrajaya Cyborg meraikan mata ketika menumpaskan Kelantan Warriors di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Kemenangan tersebut membolehkan naib juara Divisyen 1 2020 itu mendaki ke tangga ketiga, namun Kuala Lumpur (KL) Thunder mampu memintas sebelum kedudukan itu jika menumpaskan Negeri Sembilan (NS) Antlers pukul 10 malam ini.

Minggu lalu, Putrajaya Cyborg, pasukan yang dibarisi sebahagian besar pemain ‘separuh masa’ mencalarkan rekod tanpa kalah Penang Black Panthers 2-0, selain menumpaskan Selangor Pistons 2-1.

Esok Cyborg bakal berdepan pertemuan ‘buku bertemu ruas’ apabila menentang juara berganda musim lalu, KL Thunder pada pukul 8 malam.  – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI