Penang Black Panthers taruh dua muka baharu - Utusan Malaysia

Penang Black Panthers taruh dua muka baharu

PEMAIN Penang Black Panthers mendengar amanat jurulatih, Mohamad Fazil Mohd. Asri selepas sesi latihan menjelang STL 2021/2022 semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penang Black Panthers masih merahsiakan penampilan dua muka baharunya yang bakal dipertaruhkan dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 yang bermula Jumaat ini.

Jurulatihnya, Mohd. Fazil Mohd. Asri berkata, identiti ke­dua-dua pemain berusia lingkungan 20-an itu sebaliknya bakal diperkenalkan dalam ­majlis pelancaran baju dan pengenalan pasukan esok.

Menurutnya, pemilihan dua muka baharu tersebut adalah berdasarkan keputusan dan perbincangan bersama pihak pengurusan serta Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (Pesenang).

“Dua muka baharu ini bakal digandingkan dengan enam lagi pemain sedia ada pada saingan STL bermula minggu depan.

“Mereka merupakan pemain yang berasal dari negeri ini dan mempunyai pengalaman dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan STL Remaja.

“Apabila sudah tiba masanya nanti, kami akan memperkenalkan mereka termasuk barisan pemain lama serta tekong tempatan yang bakal memberi saingan hebat kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau memberitahu, pihak­nya tidak sesekali berdepan kebimbangan berhubung keserasian pemain lama dan baharu berikutan segala bentuk latihan dilakukan bersama.

“Persiapan pasukan telah dibuat sejak dua bulan termasuk dari segi kecergasan mental dan fizikal.

“Masing-masing pemain mempamerkan kesungguhan mereka untuk beraksi menentang pasukan lawan.

“Kami tidak gentar untuk berdepan pasukan lawan dan harapan kali ini adalah tersenarai dalam tiga pasukan terbaik STL Divisyen Premier dan berada pada kedudukan kelayakan STL Piala Juara-Juara,” ujarnya.

Mengulas mengenai penampilan pemain import, beliau berkata, pihaknya kini bergantung pada keputusan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Penang Black Panthers pernah dinobat selaku juara Premier tiga musim berturut-turut pada 2016, 2017 dan 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya