Bomba Fighters tak guna ‘enjin diesel’ - Utusan Malaysia

Bomba Fighters tak guna ‘enjin diesel’

TEKONG Bomba Fighters, Muhammad Al Hafiz Isa melakukan servis dalam aksi Liga Premier menentang Kelantan Warriors pada Liga Sepak Takraw 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur kelmarin. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Kami bukan guna enjin diesel, cuma ada sedikit masalah dengan ­pemain.”

Itu reaksi pengurus Bomba Fighters, Norizan Saad ketika diajukan persoalan aksi ‘lambat panas’ pasukannya dalam Liga Premier kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.

Setelah mengharungi empat perlawanan, juara Divisyen 1 itu akhirnya menemui sentuhan kemenangan dengan mengejutkan Kelantan Warriors 21-14, 22-20 di Stadium Titiwangsa kelmarin.

Norizan berkata, Bomba ­Fighters hanya berjaya mendapatkan regu yang lebih mantap selepas perlawanan ketiga dan keempat.

“Kita baru sahaja dapat regu yang mantap, bukan sebelum ni tak bagus cuma hari ini lebih baik, momentum itu baru ada, mereka ada kombinasi terbaik,” kata kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut kemenangan yang dilakar ke atas pasukan pilihan, Kelantan, katanya, skuad Pantai Timur itu itu bukan calang-calang lawan tetapi Bomba Fighters telah mempamer permainan yang baik sehingga mampu menyekat kemaraan mereka.

“Kelantan pasukan yang hebat, tetapi, ­alhamdulillah kita berjaya menerusi kemenangan straight set.

“Sebelum ini pun perlawanan ketiga kami ketika menentang Selangor Pistons, kami bermain baik tapi tewas 1-2,” ujarnya.

Norizan memberitahu, untuk perlawanan menentang Kelantan, pasukannya telah menyusun strategi yang tepat apabila menurunkan Muhammad Al Hafiz Muhammad Isa (tekong), Shohibul Fadillah Abd. Salam (apit kiri) dan Muhamad Fadzil Mustafa (apit kanan).

Katanya, dalam aksi set ke­dua, Kelantan bermain lebih agresif untuk mengheret Bomba bermain dalam set penentuan, tetapi keputusan menukarkan tekong, Hafiz kepada Irsyad Faiz Aziz sewaktu pertengahan perlawanan ternyata berbaloi yang menghadiahkan kemenangan straight set.

Bercakap tentang tekanan hebat daripada penyokong Kelantan, Norizan berkata, semasa dalam latihan, para pemain telah dimaklumkan tentang sorakan peminat, paluan gendang dan sebagainya.

“Saya sudah maklum kepada pemain, kita kena tahan, siap sedia dengan ejekan.

“Begitupun dalam masa sama penyokong Kelantan ini dia suka juga dengan Bomba. Bomba kan pasukan penyelamat,” tambah­nya.

Ketika ditanya pula tentang kehadiran pemain import Thailand, Kittihat Phathumekh, menurutnya, apit kanan tersebut hanya akan menyertai pasukan pada minggu keempat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.