ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menganggarkan perbelanjaan pasukan itu hanya sebanyak RM22 juta bagi persiapan menghadapi saingan musim 2022.
Jumlah perbelanjaan tersebut lebih rendah berbanding sebanyak RM30 juta pada musim 2021.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau bagaimanapun optimis KDA FC akan tetap kekal menjadi pasukan terbaik di Malaysia seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini.
“Ya, kita masih akan jadi pasukan terbaik di Malaysia. Pasukan import tak ‘acilah’, itu bukan saingan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ke-46 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Sebelum ini Muhammad Sanusi menarik perhatian umum apabila beliau mengucapkan tahniah kepada JDT kerana berjaya menewaskan KDA FC yang disifatkannya sebagai pasukan terbaik di Malaysia dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia, di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 18 November lalu.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, penjimatan itu dijangka berjaya dilakukan menerusi pembayaran gaji pemain yang tidak lagi terlalu tinggi seperti sebelum ini.
“Pemain-pemain mahal sudah tak ada, tinggal yang ‘sedang-sedang’ saja. Perbelanjaan mahal sangat sebelum ini disebabkan gaji dan yang kita tak mampu, terhutang sebelum ini, itu semua disebabkan gaji.
“Kerana gaji ‘setup’ terlalu tinggi, sebab itulah saya marahkan ‘orang itu’. Penanda arasnya terlalu tinggi kemudian suruh orang lain ikut dan apabila orang tak boleh ikut, dia marah pula,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin KDA FC mampu terus menjadi yang terbaik memandangkan sebelum ini ada juga pasukan yang berbelanja tidak sampai RM12 atau RM13 juta, tetapi tetap berada di kedudukan baik.
Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, isu gaji yang pernah menyelubungi pasukan itu sebelum ini dijangka tidak akan berulang menerusi langkah penjimatan tersebut selain pelantikan tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar sebagai penaung KDA FC.
“Kita harap perbelanjaan itu berada dalam lingkungan nilai yang mampu dicari. Insya Allah dalam lingkungan RM22 juta ke bawah ini, KDA FC takkan ada masalah,” katanya.